Renjer Lindungi Hidupan Liar


SEBAHAGIAN anggota sukarela membaca ikrar sempena majlis pelantikan rasmi Renjer Hidupan Liar Kehormat yang dilancarkan oleh Alfred Jabu di Kuching, baru-baru ini.

KUCHING 21 Ogos – Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia yang kaya dengan hidupan flora dan faunanya. Justeru, tidak mustahillah, terdapat sebanyak 18 taman negara dan empat pusat hidupan liar termasuk lima kawasan rizab semula jadi di negeri ini. Semua kawasan itu merangkumi keluasan 512,387 hektar termasuk kawasan daratan dan perairan. Taman-taman dan kawasan rizab semulajadi ini menggambarkan warisan semulajadi Sarawak dan juga merupakan produk pelancongan bagi menarik minat pelancong asing untuk datang ke negeri ini. Difahamkan, terdapat lebih daripada 40 spesies hidupan liar dan dua jenis flora termasuk dari jenis rafflesia diwartakan sebagai spesies yang dilindungi di Sarawak.

Umum sedia maklum, tugas bagi menjaga, mengawal dan melindungi hidupan liar di negeri ini telah dipertanggungjawabkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Hutan Sarawak. Namun, usaha untuk menjaga hidupan liar ini sudah tentu amat sukar untuk dilaksanakan sekiranya hanya dipertanggungjawabkan ke atas kedua-dua agensi berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Sarawak mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Renjer Hidupan Liar Kehormat (RHLK) yang dilantik secara sukarela terhadap individu yang berminat. Mereka diibaratkan sebagai barisan hadapan kerajaan dan pada yang sama ejen perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar di Sarawak. Difahamkan, program ini telah pun dilaksanakan pada tahun 1998 yang pada ketika itu seramai 5,364 renjer terdiri daripada ketua masyarakat dan pengurus kem pembalakan telah dilantik sebagai RHLK.

Ketua Warden Hidupan Liar SFC, Wilfred Landong berkata, pelantikan RHLK itu dibuat di bawah seksyen 8(1) Ordinan Hidupan liar. Katanya, pelantikan setiap renjer itu dibuat untuk tempoh tertentu dan tertakluk kepada syarat lantikan dan mereka mempunyai kuasa sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah ordinan berkenaan.

Katanya lagi, fungsi dan tanggungjawab RHLK tertakluk kepada peraturan 31 Ordinan Hidupan Liar 1998 iaitu setiap renjer perlu menjalankan tugas yang ditugaskan ketua warden hidupan liar. ”Setiap RHLK itu di samping tugas melindungi hidupan liar, mereka juga dipertanggungjawabkan untuk melaporkan setiap aktiviti yang menjejaskan hidupan liar. ”Mereka juga perlu melaporkan mengenai masalah yang dihadapi hidupan liar itu termasuk menjadi ejen kerajaan untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya melindungi hidupan liar kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian semasa memberi taklimat pada majlis pelantikan seramai 333 RHLK bagi kawasan Kuching, Samarahan dan Betong di Hotel Hilton di sini baru-baru ini.

Setakat ini, Sarawak mempunyai seramai 417 RHLK yang menjalankan tugas melindungi hidupan liar di seluruh negeri yang kebanyakannya terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). Sementara itu, Pengawal Hidupan Liar Sarawak, Len Talif Salleh mengingatkan, tugas RHLK tidak seharusnya terbatas kepada tugasan melindungi hidupan liar sahaja. Katanya, mereka juga mempunyai peranan dalam memastikan kemudahan infrastruktur yang dibina kerajaan dilindungi dan dipelihara dengan baik. ”Kemudahan-kemudahan ini seperti papan tanda jika dimusnahkan hanya akan merugikan kerajaan dan ingin saya tekankan di sini supaya setiap renjer itu dapat memperluaskan skop aktiviti-aktiviti mereka. ”Mereka juga perlu menerapkan prinsip 3H iaitu kepala, hati dan tangan dalam melaksanakan setiap tugas mereka,” tegas beliau.

Beliau berkata, kerajaan juga bercadang untuk memperluaskan program RHLK di kawasan bandar dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membolehkan pegawai PBT itu melakukan tugas sebagai seorang renjer. Jelasnya, mereka mampu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membendung aktiviti penjualan daging binatang liar secara haram yang terdapat di pasar mingguan yang terdapat di bandar.

Oleh MUHAMAD ZAID ADNANzaid.adnan@utusan.com.my

dipetik dari Utusan Malaysia Online

Beginilah keadaan semasa di Sarawak. Kalau haiwan dapat pembelaan,  sepatutnya manusia juga perlu diberi pembelaan sewajarnya. Kepada yang beragama Islam,  siapa yang sanggup menjadi anggota sukarela untuk dakwah di bumi Sarawak?  Sila rujuk blog Yayasan Amal Malaysia.  ” Berkhidmat Untuk Manusia, Beramal Kerana Allah”

Abu Azzam

Comments are closed.

%d bloggers like this: