Mangsa Banjir


1,600 mangsa banjir di Serian tercicir
Oleh Nick Fletcher

Kegagalan ketua kampung hantar senarai nama penduduk punca mereka tercicir

SERIAN: Seramai 1,600 mangsa banjir dari daerah Serian tercicir nama daripada senarai penerima wang ihsan berikutan kegagalan ketua kampung masing-masing menghantar senarai nama mereka kepada pegawai daerah atau Jabatan Kebajikan.

Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem berkata masalah sedemikian berlaku mungkin kerana ketika itu ketua kampung terbabit menunggu arahan daripada pegawai daerah atau Jabatan Kebajikan.

Justeru, beliau berkata ketua-ketua kampung sepatutnya berbuat demikian sejurus berlakunya bencana banjir di kampung masing-masing tanpa menunggu arahan daripada pihak terbabit.

“Mungkin wujud salah faham berikutan ketua kampung tidak menghantar senarai nama penduduknya kepada pegawai daerah atau Jabatan Kebajikan menyebabkan ramai yang tercicir atau tidak tersenarai dalam senarai penerima wang ihsan.

“Ini mungkin kerana mereka (ketua kampung) menunggu arahan daripada pegawai daerah atau Jabatan Kebajikan untuk berbuat demikian, padahal sepatutnya mereka berbuat demikian apabila berlakunya bencana banjir,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana Banjir Daerah Serian bagi kawasan Kedup di sini semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Frederick Bayoi Manggie, Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi Bencana Alam Daerah Serian Sinde Muling dan Setiausaha Politik Ketua Menteri John David.

Sehubungan itu, Richard memberitahu pihaknya telah mengemukakan senarai nama mangsa yang tercicir kepada pihak atasan kerajaan persekutuan dan seterusnya ke pejabat Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya.

“Saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertimbangkan permohonan lewat ini dan seterusnya meluluskannya,” jelasnya.

Sementara itu, Frederick Bayoi dalam ucapannya berkata sejumlah RM669,300 telah diagihkan kepada 1,440 orang mangsa banjir dari daerah Kedup.

Beliau memberitahu sebanyak RM330,300 telah diagihkan kepada 1,101 mangsa yang terjejas, dengan setiap seorang menerima RM300 secara tunai.

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM339,000 akan diagihkan kepada 339 mangsa yang mengalami kemusnahan hasil pertanian, dengan masing-masing menerima RM1,000.

Bagaimanapun, wang ihsan tersebut tidak diberi secara tunai tetapi akan dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa kerana jumlahnya yang banyak.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan kerana keprihatinannya terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Saya berharap wang ihsan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan membelanjakannya untuk sesuatu yang berfaedah,” katanya.

Bagi daerah Serian, sebanyak RM1,373,300 telah diagihkan kepada kepada 2,571 orang mangsa dengan RM704,000 telah diagihkan kepada 521 mangsa di daerah Tebedu sejak dua minggu lepas.

Dipetik dari Borneo Post

Siapakah yang melantik Ketua Kampung di Kawasan anda, sama-sama fikirkan.

Abu Azzam

Comments are closed.

%d bloggers like this: