DEMO PELAMPAU MELAYU MUSLIM


Semenjak memerintah negeri Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memang sentiasa terbuka dengan protes atau bantahan yang diluahkan oleh rakyat. Sudah beberapa kali kumpulan-kumpulan NGO dan rakyat berdemo di SUK atau menghantar memorandun. Belum sekali pun saya dengar rakyat dimarahi dan dikritik kerana berdemo atau berlainan pendapat. Namun apa yang berlaku pada hari jumaat lepas amat tidak bertamaddun dan sudah pasti mengguris perasaan penganut agama Hindu diseluruh Malaysia. Kenapa kita menjadi begitu tidak sensitif kepada agama orang lain sedangkan agama Islam melarang umatnya menghina dan mencerca tuhan atau kepercayaan orang lain. Kita sayang agama kita begitu juga orang lain.

Tindakan “penduduk” seksyen 23 Shah Alam (benak hati saya mengatakan yang berdemo bukan dari kalangan penduduk semuanya) berdemo untuk membantah pembinaan kuil di kawasan rumah mereka boleh kita terima. Itu hak mereka untuk menyatakan perasaan mereka. Namun apabila ada dikalangan mereka yang membawa kepala lembu dan dengan megahnya bergambar sambil memijak kepala lembu adalah satu perbuatan melampau. Adakah mereka pura-pura tidak tahu lembu ialah binatang suci agama Hindu? Ia bukan sahaja suatu perbuatan provokasi tetapi memaparkan kepada dunia orang Melayu Islam tidak menghormati orang lain dan biadap. Kerana nila setitik habis susu sebelanga. Bukankah Allah SWT berfirman di dalam Al Quran di dalam surah Al Kafirun “lakum diinukum waliyadiin” – bagi kamu agama kamu.

Saya bimbang sekiranya pihak kerajaan tidak mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terbabit, akan ada lagi provokasi yang lebih mencemaskan. Cuma hati saya kuat mengatakan ada dalang disebalik perbuatan melampau ini. Umumnya rakyat Malaysia berbilang kaum mempunyai toleransi yang tinggi terhadap amalan agama orang lain. Sedikit masa dahulu, perasaan orang-orang Islam cuba dipanaskan dengan hasutan kononnya Ahli Parlimen Seputih, YB Teresa Kok dan DAP menghalang laungan azan . Sebelumnya isu penternakan babi dimainkan untuk menimbul kemarahan orang Islam. Cerita-cerita ini sengaja dimainkan oleh Utusan Melayu buat seketika. Kemudian cerita-cerita pembohongan yang mengatakan jumlah kuil bertambah di Selangor semenjak PR memerintah. Bila perkara ini disampaikan kepada saya, saya minta si pembawa berita tunjukkan kepada saya di mana kuil baru dalam kawasan Kota Raja. Kawasan saya mempunyai 28% penganut Hindu. Langsung terdiam. Sekarang perasaan kaum India pula cuba dibakarkan pula. Memang ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan pergeseran kaum dan menggambarkan yang kedudukan Islam dan Melayu semakin terhakis. Perasaan tidak selamat (insecurity) inilah yang akan menyebabkan sesetengah orang begitu emosi. Walau bagaimana beremosi sekali pun seorang itu tidak akan bertindak bersendirian. Perlu ada mereka-mereka yang menjadi fasilitator menghembus perasaan supaya menjadi api yang semarak. Jika pihak-pihak yang terdesak ini tidak berjaya untuk memprovokasi orang awam untuk mengganas, saya tidak hairan mereka akan mengupah pihak-pihak tertentu yang sanggup mencetuskan kekacauan. Tujuan mereka ialah mengambil alih negeri Selangor dengan apa cara sekali pun. Jadi tidak hairan jika mereka sedang mencari jalan untuk mencetuskan kekacaun dan menggunakan undang-undang darurat atau mageran dinegeri Selangor seperti yang pernah berlaku di Kelantan di dalam tahun 70an.

Jadi awas lah rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan keamanan. Jangan terperangkap dengan tipu daya orang-orang yang terdesak ini. Mereka gagal memenangi semua PRK di semenanjung, gagal menyebabkan perkelahian dan perpecahan parti-parti dalam PR, gagal mencetuskan pergaduhan sesama rakyat, gagal untuk mencari katak-katak yang cukup dikalangan ADUN PR untuk melompat menyokong mereka………… mereka akan mencuba lagi. Entah apa pula karenah mereka ??

Dr Siti Mariah Mahmud

P/s  Di seberang laut(semenanjung) antara parti sudah nampak persaingan. Tapi menghina dan membuat provokasi tidak patut dilakukan oleh pihak yang berdemo. Cukup menghantar memorandum dan yang pasti Polis tidak bertugas  untuk meleraikan mereka. Siapa mereka…adakah UMNO BN?

Abu Azzam

Comments are closed.

%d bloggers like this: