Undi Pos Penentu Kemenangan di Bagan Pinang


bagan-pinang-signpost10Hari ini aku terbaca beberapa artikel dan aku nampak BN memang gila kuasa sebab apa? Undi POS sepatutnya tidak wujud lagi di Malaysia. Undi POS satu lagi talian hayat BN dan SPR pulak jenis lembik tidak berperinsip.  Sentiasa menyebelahi BN dan kita boleh lihat apa yang berlaku di Kedah. Apabila seorang adun tidak hadir dua kali berturut-turut tanpa kebenaran DUN maka mengikut peraturan negeri Kedah kerusi tersebut dikosongkan. Speakar telah menghantar surat kepada SPR berkenaan kekosongan tersebut. SPR tidak menerima kekosongan tersebut tanpa ada alasan yang kukuh melalui peraturan yang ditetapkan. Ini merupakan penyalahgunaan kuasa oleh SPR.  Bagaimana nak menyelesaikan masalah ini, hanya rakyat saja yang mampu mengubahnya.  Ayuh kita rakyat harus berubah..berubah sebelum parah. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka.

Undi Pos Amat Kritikal Di Bagan Pinang

Oleh Syed Azwan Syed Ali

PORT DICKSON, 5 Okt (Bernama) — Dengan adanya tiga kem tentera dan lapan institusi dan unit ketenteraan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, pentingnnya undi pos dalam kalangan anggota tentera kepada Barisan Nasional dan Pas dalam pilihan raya kecil kerusi berkenaan Ahad ini, adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal.

Malah pemerhati politik menyifatkan undi 4,571 anggota tentera, yang merupakan sebahagian daripada 4,604 pengundi pos di kawasan itu, sebagai “kritikal” kepada kedua-dua parti yang bertanding itu.

BN mahu menambah atau setidak-tidaknya mengekalkan undi pos yang ia peroleh pada pilihan raya umum 2008 manakala Pas pula mengharapkan situasi itu akan berubah.

Umum lazimnya beranggapan bahawa kawasan yang mempunyai jumlah undi pos yang tinggi menjadi “penyelamat” kepada BN manakala parti lawan pula seringkali menjadikan undi pos sebagai alasan mereka kalah di situ.

Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang malah telah menyifatkan laluan calon parti itu di Bagan Pinang sukar dengan adanya 4,604 pengundi pos daripada keseluruhan 13,664 pengundi di kawasan itu dan seterusnya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya lebih telus dalam urusan undi pos.

Benarkah tanggapan ini atau adakah ia hanya merupakan sebahagian daripada perang psikologi Pas supaya BN berasa selesa dengan kedudukannya dan parti itu akhirnya dapat membuat kejutan sebagaimana BN membuat kejutan di Manik Urai, pada pilihan raya kecil DUN itu Julai lepas.

Pada pilihan raya kecil Manik Urai, Pas dikejutkan dengan kejayaan Umno mengurangkan majoritinya daripada kira-kira 2,000 undi kepada 65 undi sahaja, walaupun Manik Urai merupakan kubu kuat Pas.

Penganalisis politik berpendapat bukan semua undi pos akan memihak kepada BN.

“Undi tentera fleksibel. Mereka kini sudah terbuka,” kata saintis politik Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff kepada Bernama.

Oleh yang demikian, undi pos bukanlah suatu kelebihan kepada BN, kata Dr Wan Abdul Rahman yang juga bekas pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman Mohammad Noor dari BN hanya mendapat sokongan lebih 3,000 undi pos manakala lawannya Ramli Ismail dari Pas memperoleh lebih 1,000 undi pos. Pada pilihan raya itu Azman menewaskan Ramli dengan majoriti 2,333 undi.

Menyedari pentingnya pengundi pos di Bagan Pinang, Pas sejak dari awal berlakunya kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian Azman pada 4 Sept lalu, telah menjadikan undi pos sebagai “modal politik” untuk meraih simpati pengundi.

Pemerhati politik, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari UKM, pula berkata perubahan status quo undi pos akan memberikan impak besar kepada pilihan raya kecil itu, sama ada BN berjaya mengekalkan majoriti kemenangan atau parti lawan berjaya meluaskan pengaruhnya dalam kalangan anggota tentera.

Bagan Pinang terletak dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang yang dikuasai PKR sejak pilihan raya umum lepas. Ia mempunyai kira-kira 30 peratus pengundi bukan Melayu. Dua puluh peratus atau 2,834 pengundi India menetap di empat ladang dan 10 peratus atau 1,498 pengundi Cina tinggal di merata-rata kawasan DUN itu.

Lebih 8,500 adalah pengundi Melayu, termasuk undi pos, mewakili 62 peratus jumlah pengundi di kawasan itu.

Wan Abdul Rahman berkata berdasarkan analisisnya, undi bukan Melayu memihak kepada Pas kerana pakatan parti itu dengan DAP dan PKR manakala sentimen pengundi Melayu masih bersama dengan Umno/BN.

Katanya pada pilihan raya umum lepas, pakatan pembangkang mendapat lebih 80 peratus undi India dan 65 peratus undi Cina dan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus undi Melayu.

Pencalonan Tan Sri Mohd Isa Samad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, dikatakan memberi kelebihan kepada BN kerana populariti beliau di kawasan itu, yang merupakan kampung beliau dibesarkan.

“Di Bagan Pinang mungkin 100 peratus tapi di kawasan lain hanya 70 peratus sahaja,” kata Wan Abdul Rahman merujuk kepada tujuh kawasan peti undi lain terdiri Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Eastern, Si Rusa dan Teluk Kemang.

Apa yang penting, katanya, ialah tiada pihak harus terlalu yakin dengan sokongan yang mereka peroleh setakat ini, kerana dalam tempoh beberapa hari ini menjelang pengundian, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

— BERNAMA

Comments are closed.

%d bloggers like this: