Pembuangan 14 Keping Kad Pengenalan?


KENYATAAN MEDIA

(5 Oktober 2009 , 16 Syawal 1430)

No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(01/09)

TAJUK

TINDAKAN LEMAH TERHADAPAN ISU PEMBUANGAN 14 KEPING KAD PENGENALAN DI TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH SANGAT DIKESALI

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah menyerahkan memorandum kepada Yang Berbahagia Datuk Jalaluddin Bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Polis Johor pada 19 Ogos 2009 berkaitan dengan satu laporan polis yang pernah dibuat oleh Encik Za’aba Bin Haji Ibrahim pada 8 Jun 2009 bahawa beliau telah menemui sejumlah 14 keping kad pengenalan di sebuah tempat pembuangan sampah haram SCDC bersama dengan beberapa perkara lain seperti kad perwakilan UMNO. Dalam pertemuan tersebut, saya telah diberitahu bahawa kes ini tidak disiasat oleh pihak polis dan kes ini telah diserahkan kepada Pejabat Pendaftaran Johor.

Saya merujuk kepada surat jawapan balas daripada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor Darul Takzim bilangan JPNJ.SK:163/795/1 Jld 18(45) bertarikh 29 Oktober 2009 sebagai jawapan balas kepada surat DPPNJ bilangan PAS/DPP.12/2.05(12/09) bertarikh 17 September 2009 menyatakan bahawa kes ini adalah di bawah tanggungjawab Polis Di Raja Malaysia Negeri Johor sepertimana rujukan laporan polis TAMPOI/00627/09 bertarikh 8 Jun 2009. Dalam surat jawapan tersebut, Jabatan ini menyatakan bahawa akan hanya menyoal siasat kepada pemilik-pemilik kad pengenalan yang dijumpai di tapak pembuangan sampah tersebut untuk dipanjangkan ke ibu pejabat JPN Putrajaya.

DPPNJ melahirkan rasa dukacita di atas jawapan balas yang telah diterima ini kerana seolah-olahnya isu ini tidak serius untuk diselesaikan. Kes pembuangan kad pengenalan di tapak pembuangan sampah ini bukan perkara yang kecil kerana ia melibatkan keselamatan negara.

DPPNJ ingin mempertegaskan sekali lagi bahawa :-

  1. isu penemuan beberapa belas keping kad pengenalan ini adalah merupakan satu perkara besar kerana ia membabitkan isu keselamatan negara.
  1. DPPNJ mempersoalkan bagaimana kad pengenalan tersebut boleh dijumpai di sebuah tempat pembuangan sampah dalam keadaan yang meragukan sedangkan kad pengenalan tersebut masih lagi dalam keadaan yang sempurna tanpa ada tanda-tanda ianya telah dimusnahkan.
  1. JPN hanya menyoal siasat kepada pemilik-pemilik kad pengenalan yang dijumpai sedangkan DPPNJ meragui bagaimana proses pelupusan kad pengenalan tersebut dibuat kerana salah seorang daripada tuan punya kad pengenalan tersebut telah mengesahkan bahawa beliau telah memulangkan kad pengenalan tersebut keada JPN.
  1. Dalam laporan polis yang telah dibuat oleh Encik Zaaba Bin Ibrahim telah menyatakan bahawa beberapa kad perwakilan dan jentera pilihanraya UMNO yang tertera nama Hashimah Binti Abdul Samah, Naib Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Baru dijumpai bersama kad pengenalan tersebut. Apakah tidak perlu siasatan dibuat terhadap beliau yang mungkin disyaki terlibat dalam perkara ini?

Berdasarkan kepada maklumat-maklumat ini jelas bahawa kes ini tidak serius untuk ditangani sedangkan kad pengenalan ini adalah merupakan dokumen pengenalan diri yang cukup berharga kepada setiap rakyat Malaysia.

DPPNJ akan mengambil tindakan susulan terhadap jawapan balas daripada kedua-dua pihak ini termasuklah akan membawa perkara ini ke Parlimen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

http://minda-kembara.com/

http://www.facebook.com/khairul.faizi1

Comments are closed.

%d bloggers like this: