Berita Sarawak Dalam Harakah


Sudah lama berita dari Sarawak tak tercatat dalam Harakah dan Alhamdulillah hari ni berita sahabat di Miri dipilih untuk di publish.


17 keluarga dapat sumbangan Pemuda PAS Sarawak

MIRI, 30 Nov: Walaupun tidaklah termasuk dalam negeri-negeri maju PAS, namun Pemuda PAS Sarawak tidak mahu ketinggalan dalam usaha mereka membantu rakyat.

Mereka bukan membantu sekali tetapi juga memberikan sumbangan tetap bulanan kepada keluarga yang mereka fikirkan layak untuk menerima sumbangan itu.

Beberapa keluarga telah mereka kenal-pasti untuk diberikan bantuan susulan atau bantuan tetap seperti pembiayaan pembelajaran anak, sumbangan bulanan tetap dan beberapa bantuan penyediaan kemudahan asas yang lain.

(Gambar: Pemuda PAS Sarawak meredah denai untuk memberikan sumbangan kepada yang memerlukan)

Antara yang bakal mendapat bantuan susulan adalah seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga anak beliau seramai 12 orang dan dalam masa yang sama beliau menghadapi kecacatan penglihatannya.

Bantuan ini mereka lakukan dengan kerjasama PAS Kawasan Miri atas nama Program Pembelaan Rakyat Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Sebanyak 17 keluarga telah mendapat sumbangan bantuan daripada mereka dan PAS Kawasan Miri. Antara yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan kurma.

Turut hadir di dalam program ini adalah YDP PAS Kawasan Miri Haji Jofri B Jaraiee.

Program Pembelaan Rakyat merupakan inisiatif daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak bagi membantu rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan dan tidak mendapat bantuan terus daripada kerajaan.

“Program Pembelaan Rakyat adalah bertujuan untuk membantu rakyat yang memerlukan di samping merapatkan PAS kepada masyarakat.

Program ini akan tertumpu kepada kawasan-kawasan sasaran di Sarawak iaitu Miri, Bintulu, Kuching dan Batang Lupar,” kata M Arifiriazul B Paijo, Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak.

(Gambar: Antara keluarga yang mendapat perhatian Pemuda PAS Sarawak)

Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menambah dana kepada Tabung Pembelaan Rakyat bagi menggerakkan Program Pembelaan Rakyat.

Sumbangan boleh disalurkan kepada nama Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak(BANK ISLAM MALAYSIA BHD: (11013010070358).

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada M Arifiriazul, Naib Ketua Pemuda PAS Sarawak di talian 0138377505.

Comments are closed.

%d bloggers like this: