‘Jejak Fakir Kita Bersaudara’ Dekati Golongan Pengemis Buta di Sarawak


KUCHING, 30 Nov: Berobjektif mengenali dan memahami masalah kehidupan pengemis buta di jalanan, Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) awal bulan ini telah menganjurkan program Jejak Fakir Kita Bersaudara baru-baru ini..


Menyedari kewajipan sebagai seorang muslim untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Ketua Penerangan, Amal Amani serta Ketua Muslimatnya bersama-sama jentera muslimat negeri turun padang menjejaki fakir-fakir miskin di sekitar Satok, India Street dan Jalan Gambir.

Bantuan bahan makanan asasi seperti beras dan gula diagihkan kepada mereka yang kurang mendapat pembelaan dari pihak berwajib ini.

Hasil perkenalan mereka dengan golongan peminta sedekah ini, ada di antara mereka yang merantau jauh dari Miri dan menumpang di rumah rakan di Kuching serta terputus bantuan wang ehsan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran tidak menuntut wang tersebut dalam tempoh dua bulan.

Jika difikirkan dari segi logiknya, untuk menyeberang jalan pun golongan ini memerlukan bantuan, apatah lagi untuk pergi sendiri ke JKM bagi menuntut hak mereka yang tidak seberapa, kata Amal.

“Ini jelas menunjukkan JKM sambil lewa dalam menjalankan tugas mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kesempatan itu juga Aaml memberitahu, lebih dua ratus ‘flyers’ diedarkan kepada masyarakat awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat Sarawak khususnya di Bandaraya Kuching.

Selain itu, bahan-bahan edaran Kita Bersaudara seperti ‘batch’ dan pelekat turut dihadiahkan kepada masyarakat setempat.

Meskipun program tidak sampai sehari iaitu bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang namun ianya sangat bermakna bagi pelaksana kerana kehadiran mereka disambut mesra dan girang oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira golongan kanak-kanak mahupun golongan dewasa dan warga emas.

Sumber Pas Kawasan Miri

Comments are closed.

%d bloggers like this: