Semangat Membantu Mangsa Kebakaran.


Tahniah dan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Warisan kerana membantu mangsa membina semula perniagaan yang musnah. Terima kasih dan penghargaan juga patut diberikan kepada Bomba kerana bertungkus lumus semalaman membantu mengawal kebakaran dari merebak ke seluruh lot bangunan rumah kedai. Diharap niat untuk menganti bangunan yang musnah dapat dipercepatkan. Cuma di situ ada sebuah Masjid yang perlu dijaga, aku sebagai Umat Islam mengharap semoga pihak kementerian tidak menjadikan masjid kami sebagai tapak warisan yang mana, kami hanya dapat melihat tapaknya tetapi tidak dapat merasai/beribadah didalamnya. Sambungan artikel dari Borneo Post.

Kedai terbakar akan diganti bangunan baru

KUCHING: Kementerian Pelancongan dan Warisan akan membantu pemilik kedai di Jalan Gambier yang terjejas akibat kebakaran malam Selasa lalu untuk membina semula bangunan berkenaan dan menjadikannya sebagai tapak warisan untuk tarikan pelancong.Menterinya Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, petugas khas kementeriannya dijangka akan mengadakan sesi dialog dengan para pemilik kedai dalam masa terdekat ini untuk membincangkan kemungkinan pembinaan bangunan bersejarah itu sebagai pusat pelancongan.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama mereka mengenai idea baru ini dan pembinaan bangunan itu nanti akan dijadikan sebahagian daripada pelaksanaan pemanjangan Tebingan Kuching,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan Dialisis Persatuan Buah Pinggang Sarawak (KAS), di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini semalam.

Menurut beliau pembinaan semula bangunan juga akan menggunakan konkrit yang bertindak sebagai penghalang kebakaran berbanding bangunan kayu sebelum ini.

Dr Chan berkata, pembinaan semula terbabit akan menjadi sebahagian daripada tapak warisan Kuching yang akan memeriahkan lagi Tebingan Kuching terutamanya dengan pemandangan bangunan baru Dewan Undangan Negeri di seberang tebingan Sungai Sarawak.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, bantuan akan diberikan kepada mangsa kebakaran itu namun yang paling utama adalah membantu mereka memulakan perniagaan secepat mungkin.

“Kerajaan akan menghulurkan bantuan dan membantu mereka memulakan perniagaan secepat mungkin kerana ia merupakan perkara paling penting kepada mereka,” katanya.

Dalam satu kejadian kebakaran malam Selasa lalu, tujuh kedai di Jalan Gambier musnah dijilat api yang berlaku sekitar jam 8.30 malam yang dilaporkan bermula dari sebuah kedai fabrik.

Sejumlah 47 anggota Bomba dan Penyelamat daripada lima balai iaitu Tabuan Jaya, Padungan, Batu Lintang, Petra Jaya dan Siburan bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.47 malam.

Namun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Comments are closed.

%d bloggers like this: