Ia Satu Penghinaan – Dato’ Ustaz Harun Taib


KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib menegaskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan di gereja katolik.

Menurutnya, penggunaan Allah dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly dilihat sebagai satu penghinaan terhadap agama dan juga umat Islam.

Lebih jelas katanya, keadaan itu dilihat boleh mengundang kekeliruan orang Islam di seluruh negara dan dikhuatiri penggunaan kalimah agung itu tidak mengikut maksud sebenar sebagaimana dalam Islam.

“Saya tidak bersetuju kerana ia boleh mengelirukan umat Islam, tidak semua mereka guna mengikut maksud sebenar perkataan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama katanya, kepercayaan orang Islam dan bukan Islam juga berbeza apabila Islam meyakini Allah bersifat Esa yang jelas bercanggah dengan kepercayaan agama lain.

Ustaz Harun yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, penggunaan kalimah itu memberi kesan amat besar kepada umat Islam yang boleh mengguris perasaan mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald The Catholic Weekly, menyebabkan ia telah mencetus bantahan banyak pihak dalam kalangan masyarakat Islam.

Tranungkite Online

Comments are closed.

%d bloggers like this: