Penggulungan & penangguhan Presiden PAS


By Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi Yesterday at 3:05pm

(Photo) 
PENGKALAN CHEPA, 13 Jun – Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapan penangguhannya menjelaskan tentang penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Ini sebagai penjelasan terhadap laporan akhbar yang menyebut ada pihak yang tidak bersetuju dan bimbang dengan langkah yang diambil oleh PAS ini.

“Kerjasama antara PAS dengan bukan Islam tidak sama dengan kerjasama antara umno dengan parti lain. Kerjasama PAS adalah berdasarkan tahaluf siyasi yang diizinkan syara’,

“Di dalam amalan politik Islam, pemerintahan yang diketuai oleh Islam, boleh mengambil petugas di kalangan bukan Islam,” ujarnya.

Langkah yang diambil oleh PAS tidak lari dari rujukan kepada Al-Quran, As-Sunnah serta muzakarah yang dibuat oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka. Al-Quran menyebut tentang keizinan penglibatan bukan Islam dalam amalan politik.

Maksud ayat “Allah tidak melarang kamu mengadakan sikap yang baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan kamu dan tidak menghalau kamu dari tanah air kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

PAS turut mengambil pandangan daripada beberapa orang ulama muktabar yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Mereka dikumpulkan bersama dan diadakan satu muzakarah bagi membincangkan penglibatan orang bukan Islam.

“Hasilnya, mereka berpendapat tidak salah untuk mengajak orang bukan Islam untuk menjadi ahli parti dan bersama-sama dalam menjalankan kerja-kerja Islam. Orang bukan Islam yang diajak bersama PAS ialah mereka yang menolak dan membenci kezaliman,” ujarnya.

Kitab karangan Al-Mawardi juga ada menyebut tentang dibenarkan orang bukan Islam menjadi menteri bagi melaksanakan perintah kerajaan. Setelah merujuk kepada pandangan ulama, maka perlu pula dilihat dan dibincang dari aspek amalan politik, bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Perkara ini, menurut Tuan Guru, tidak difahami oleh golongan yang berfahaman sekular. Sejarah membuktikan sewaktu peristiwa hijrah Nabi Muhammad, yang menjadi penunjuk jalan menuju ke Madinah adalah seorang yang belum memeluk Islam pada waktu itu.

Orang Melayu pada hari ini telah dijahilkan oleh umno, parti yang mendakwa membela Melayu. Tuan Guru menegaskan, untuk membela Melayu, bukan dengan Melayu tetapi dengan Islam. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad yang mempertahankan Arab dengan Islam.

Maka, ahli PAS berperanan untuk menyedarkan orang Melayu. Media alternatif mesti digunakan dengan penuh bijaksana bagi menyedarkan mereka yang masih terlena.

“Media tidak seharusnya disalahgunakan dengan menyebarkan berita yang paslu yang menjatuhkan. Berita yang benar sekalipun, sekiranya ia boleh memecahbelahkan ikatan persaudaraan perlu dielak,” jelasnya.

Tuan Guru turut mengingatkan agar berhati-hati dalam menegur seseorang. Kesilapan yang dilakukan janganlah ditegur secara terbuka di media, tetapi hendaklah ditegur individu itu sahaja tanpa melibatkan pihak lain.

Semasa berperang sekalipun, ada adabnya dan tidak melampaui batas.

“Berperanglah pada jalan Allah, orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Ulama mengajar agar kita beradab dengan berkata ‘yang baik itu dari Allah, yang kurang itu dari kelemahan saya sendiri’. Orang yang hebat ialah orang yang dapat menahan diri ketika marah. Kemaafannya lebih mendahului kemarahannya. “Berbuat baik kepada manusia, kamu boleh memperhambakan hatinya,” ujar Tuan Guru.

Menyentuh tentang persediaan PAS untuk mengambil alih pemerintahan negara, Tuan Guru dengan yakin berkata,”ke Putrajaya InsyaAllah, mendukung kemenangan.”

“Orang kata kita bermimpi. Kita harap mimpi yang soleh,” ujar Tuan Guru sambil mengambil contoh sewaktu Nabi berhijrah. Baginda menawarkan gelang tangan kerajaan Farsi dan Rom kepada Suraqah yang mengejar untuk membunuh baginda. Sedangkan waktu itu, Islam masih belum kuat dan baru di peringkat permulaan untuk membentuk kerajaan di Madinah.

PAS seumpama sebuah bahtera, yang masih tetap bertahan walaupun dilanda taufan yang hebat. PAS menolak perpaduan umno, yang diumpamakan seperti memikul biawak hidup. PAS mengajak untuk bersama-sama ke arah perpaduan yang bersandarkan Islam untuk menyelamatkan negara.

Ramai orang bukan Islam yang sudah bersama Dewan Himpunan, bahkan sudah ada parti yang dahulunya memandang negatif kepada PAS, kini sudah berubah. Di akhir ucapannya, beliau meletakkan harapan agar semua ahli meneruskan perjalanan, menguatkan saf dan yakin dengan pertolongan Allah.

Comments are closed.

%d bloggers like this: