Saman Ekor Hendak Wang Atau Cegah Kemalangan?


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  yang bertindak menyenarai hitam pesalah trafik sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.PAS merasa kesal ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dan indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ menyatakan bahawa mereka yang  ada sama ekor tidak dibenarkan membaharui cukai jalan.

PAS bukan menentang saman kepada  mereka yang bersalah,tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul.

Kenapa tidak dibawa kepada pengadilan untuk dibicara.  PAS berpendapat  ini adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut. Kerana ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku. Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak  mengurangkan kemalangan jalanraya, ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam. Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya. 

PAS berpandangan bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat. Mungkin kerajaan telah terlepas peluang kerana lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang dengan hebat oleh rakyat. Sebab itu tidak hairanlah kepada kita  kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan.  PAS mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat.

PAS menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu dibibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13.

Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments are closed.

%d bloggers like this: