Bidang Kuasa Sarjan


Wah…Sarjan lebih hebat dari Leftenan, Mejar dan sebagainya.

Sarjan N. Tharmendran menghadapi pertuduhan lain..

Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan sahaja menghadapi pertuduhan mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM, tetapi turut didakwa atas pertuduhan lain di Mahkamah Tentera kerana menerima harta awam yang digunakan secara tipuan dan satu pertuduhan alternatif iaitu menerima harta curi.

Sarjan itu didakwa mengikut Seksyen 61(b) Akta Angkatan Tentera 1972 dan Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Tharmendran telah dihadapkan ke Mahkamah TUDM bermula pada Jun 2007 dan seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil sehingga Mei 2009. Bagaimanapun, perbicaraan itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada penyiasatan kes kecurian enjin pesawat yang didakwa dilakukannya.

Perbicaraan itu sepatutnya disambung pada hari Khamis dengan memanggil tiga lagi saksi sebelum menutup kes pendakwaan. Bagaimanapun, ia ditangguhkan selepas peguam bela tertuduh, Rakhbir Singh tidak hadir kerana beliau menjelaskan melalui surat kepada mahkamah menyatakan ingin menarik diri selepas tidak mendapat arahan daripada anak guamnya itu.

Mengikut pertuduhan, Tharmendran, 42, didakwa menyalahgunakan secara tipuan harta-harta milik awam iaitu lapan buah ‘HP Laser Jet Print Catridge’ pelbagai model manakala bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi lapan buah ‘HP Laser Jet Catridge’ pelbagai model.

Turut didakwa, seorang Koperal Udara Mohamad Zohari Aris, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 61(a) Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu menyalahgunakan 10 buah ‘HP Laser Jet Print Catridge’ pelbagai model.

Bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi ‘HP Laser Jet Catridge’ itu mengikut Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Pangkalan Udara Subang pada 1 tengah hari, 13 Jan 2006. – Bernama

Comments are closed.

%d bloggers like this: