Kata Dua, Beri Kemenangan Pertama Kepada PAS

Galas : Perlantikan Razaleigh Umpama Kata Dua, Beri Kemenangan Pertama Kepada PAS.

Parti Islam Se-Malaysia menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas sebagai kata dua kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan. Jelas ianya tindakan terdesak Umno. Ternyata Umno begitu bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu, Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.Sebelum ini di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengarah namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal ditangan PAS. Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihanraya DUN Galas walaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Negeri dan Menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan..DUN Galas dikawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh dimana Umno menumpang pengaruh beliau untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam Pilihanraya yang lepas Allahyarham Che Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.
Bagi PAS perlantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihanraya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas Pilihanraya 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan dibawah BN. Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan kelantan kepada Petronas. Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat.
PAS yakin, perlantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno. Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno.PAS yakin, Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan dia tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan. PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan. Jika dalam PRK nanti isu Royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan? Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti.PAS menyeru agar Tengku Razaleigh istihar keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuangan untuk rakyat Kelantan.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Advertisements

Isu Wang Judi Umno Terlupa Dia Bapa Judi

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa harian tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM 100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi. Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan Kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, YAB Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas

PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi. Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad. Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno. Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi. Kebiasaannya suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat, contohnya judi halal kalau yang buat itu ialah Kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN. Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana berhadas besar kalau  Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC YB Kamalanathan ahli parlimen Hulu Selangor.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Menyokong Pendirian NUJ

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong penuh pendirian  Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari  untuk mendukung  etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.  Kenyataan tegas sebagai jawapan balas kepada   Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang. Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam  etika kewartawanan, dengan   melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab. 

PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan. Menjadi lumrah  sebagai manusia, wartawan  tidak sunyi daripada kesilapan. Jika perkara ini berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali  sebarang kesilapan. Apa yang berlaku pada hari ini media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika ini. Mereka sanggup membiarkan perkara ini berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah. Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang Di Pertuan Agong dalaam doa. Begitu juga  Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah   bertazkirah dan  memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral. Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang professional. Apa yang penting kepada mereka ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini. PAS bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar. PAS tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan, tetapi PAS tidak rela berita mengenai perjuangan PAS difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini. Kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang
dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelusuk kampung.

PAS ingin mengigatkan Saudara Zahid Mat Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi. Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntuk hak sebuah parti politik di negara ini. Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai.  

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Rasai Keperitan Rakyat: Najib Cakap, Pemimpin PR Buat

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap ucapan  Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat hanya retorik sahaja, kerana ia  menyimpang daripada tindakan. Realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan. Bahkan kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya. Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam  pilihanraya 2008 baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat. Sebelum ini mereka tidak pernah menyebut hal ini kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka. Semalam Datuk Seri Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama. Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit. Sedangkan PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan  tanggungjawab ini. Kerana menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Buktinya  PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia. Program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah. Begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat. Selangor negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah.  Program yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun. Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat. 

Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelasaikan masalah rakyat kalau mereka mahu.  Sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati. Saham untuk kaum bumiputera sebanyak RM52 bilion lesap, sepatutnya Perkasa tidak perlu menjerit lagi mengenai pencapaian 30% ekuiti bumiputera, kalau pemimpin BN tidak khianat.Agensi untuk bela penderitaan  rakyat susah juga dikhianati seperti Felda.  Wang Felda telah susut sebanyak RM2.75 bilion dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2004 wang Felda ada RM4.08 bilion telah mengucup kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kita pun tidak tahu macam mana kos tanam semula di Felda lebih tinggi berbanding dengan ladang lain di negara ini. Sebagai contoh kos penanaman semula di Felda RM10,503 sehektar berbanding dengan ladang IOI hanya RM1,988 sehektar dan ladang Sime Darby pula Rm3,120 sehektar. Wang Felda yang sepatutnya di manfaatkan dengan lebih baik untuk peneroka dan anak-anak peneroka telah digunakan antaranya mendirikan bangunan di tengah-tengah badaraya Kuala Lumpur RM662 juta. Menggunakan wang Felda untuk projek basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta. Sedangkan Felda banyak di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, kenapa pula Sabah sahaja yang dapat manfaat. Kemana pula hasil minyak dan balak di Sabah, sehingga terpaksa mengemis dengan Felda. Tepuk dada, kocak pokok kelapa sawit. 

Sebelumnya wang PPRT lesap RM32 juta, kalau wang untuk orang susah pun dikebas begitu sahaja, apa hendak diharap untuk menjaga kepentingan rakyat marhain di negara ini.Kalau pemimpin memahami derita rakyat maka tidak akan mencari jalan mudah untuk dapatkan wang dengan menaikkan harga  minyak, tepung, gula, menghapuskan subsidi, mengenakan saman ekor dan  GST. Sebenarnya apabila kapal hendak karam baru pemimpin sedar siapakah diri mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Siasat Dakwaan Pegawai Polis Cuai

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat
 dengan serius. Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru.

PAS memandang berat dengan kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius. Jika ini berlaku ia adalah amat malang kepada rakyat Malaysia, kerana institusi yang menjaga keamanan rakyat dan negara telah mengabaikan tanggungjawabnya. Kehebatan polis Malaysia menangkap penjenayah di negara ini jangan dimalukan. Sehingga orang mendakwa kecekapan polis Malaysia, boleh menangkap penjenayah dalam masa yang singkat sahaja, kalau penjenayah tersebut masih berada di dalam negara ini.

PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius.
PAS tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Susilawati dan tiga yang lain. Sekarang rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.

Sebelum ini sudah ada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan. Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk. 
 
PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini.  PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga  maruah institusi polis. Jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar amat-amat dialu-alukan supaya  negara selamat daripada mala petaka buruk. InsyaAllah selepas ini kita tidak mahu lagi mendengar ada aduan kehilangan orang awam yang tidak diambil perhatian dengan serius.

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Tepung Tawar anak/majlis bersanding

Gambar di ambil dari Utusan Borneo 17 September 2010.

Bila penjaga hal ehwal Agama Islam bukan dikalangan mereka yang ahli maka sampai bila pun rakyat Sarawak masih mengamal tepung tawar walaupun salah disisi agama Islam dan umat terdahulu telah ditegur amalan mereka seperti yang terkandung dalam Al-Quran “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: ‘(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami’. ‘(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”. surah Al-Baqarah

Posted with WordPress for BlackBerry.

SKMM KENA JAGA KETENTRAMAN RAKYAT BUKAN KETENTERAMAN BN

Parti Islam Se-Malaysia PAS bersetuju kenyataan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang bertindak untuk menggugat keharmonian dan kententeraman kaum di negara ini samaada berunsur fitnah dan penghinaan terhadap mana-mana agama atau bangsa melalui ruangan langit terbuka.

Parti Islam Se-Malaysia menyeru semua pihak supaya apa-apa laporan biarlah beretika dan bermoral samada melalui media cetak atau elektronik. Unsur fitnah adalah suatu perkara yang perlu dijauhi dalam setiap laporan.Kerajaan juga perlu bertindak dengan segera tanpa memilih, siapa yang melakukan kesalahan.

PAS tidak mahu SKMM hanya dilihat untuk menjaga ketenteraman BN bukan ketenteraman rakyat di negara ini. Apabila laporan pemberitaan fitnah yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat, maka pihak berkuasa di negara ini hanya buat tidak kisah. Contoh yang terbaru ialah bagaimana akhbar Utusan Malaysia dan media elektronik  yang melaporakan berita fitnah mengenai YB Teo Nei Ahli Parlimen Serdang memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos 2010. Hakikat yang berlaku ialah YB Teo hanya memberi taklimat skim pendidikan kerajaan negeri Selangor dan memberi RM1000 ringgit kepada surau tersebut. Begitu juga dengan pemberitaan yang berunsur fitnah dengan mengatakan bahawa ‘Lim Guan Eng mengganti Yang Di Pertua Agong dalam khutbah.’ Kesemuanya ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam dan pimpinan Pakatan Rakyat.
 

PAS mengharapkan pihak SKMM menyiasat dengan segera mengenai gambar YAB Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu, sedangkan itu adalah gambar YB Datuk Seri Haji Nizar Jamaludin. Mereka yang membuat kerja fitnah ini perlu disiasat dan dihadapkan ke pengadilan. Semua ini adalah percubaan untuk SKMM untuk menunjukkan kepada rakyat bahwa mereka adalah badan professional yang menjaga ketenteraman rakyat bukan ketenteraman BN. Inilah rakyat mahu lihat SKMM bertindak, jangan biarkan rakyat ketawakan SKMM pula.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.