PAS Menyokong Pendirian NUJ


Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong penuh pendirian  Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari  untuk mendukung  etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.  Kenyataan tegas sebagai jawapan balas kepada   Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang. Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam  etika kewartawanan, dengan   melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab. 

PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan. Menjadi lumrah  sebagai manusia, wartawan  tidak sunyi daripada kesilapan. Jika perkara ini berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali  sebarang kesilapan. Apa yang berlaku pada hari ini media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika ini. Mereka sanggup membiarkan perkara ini berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah. Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang Di Pertuan Agong dalaam doa. Begitu juga  Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah   bertazkirah dan  memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral. Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang professional. Apa yang penting kepada mereka ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini. PAS bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar. PAS tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan, tetapi PAS tidak rela berita mengenai perjuangan PAS difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini. Kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang
dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelusuk kampung.

PAS ingin mengigatkan Saudara Zahid Mat Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi. Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntuk hak sebuah parti politik di negara ini. Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai.  

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Comments are closed.

%d bloggers like this: