Punca arak diharamkan dalam Islam


Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri kenapa arak membawa kesan yang sangat buruk dalam kehidupan manusia dan kenapa ia diharamkan oleh Islam? Sebahagian sebabnya adalah:

1. Merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman kepada Allah SWT dan merosakkan syakhsiahnya.

2. Dari aspek sosial boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, memporak-perandakan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.

3. Merosakkan kesihatan manusia seperti tekanan darah tidak menentu, rosaknya urat saraf, menyebabkan hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan dan gila.

4. Ketagihan arak atau alkohol akan mengakibatkan kehilangan nyawa serta menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia.

5. Kesan jangka panjang alkohol akan membawa perubahan metabolisma kepada akal fikiran, organ hati dan menyekat peranan otak dari berfungsi dengan baik.

6. Kes zina, rogol, sumbang mahram dan AIDS lebih tinggi di kalangan peminum alkohol. Menurut kajian Biro Keadilan. Mangsa Jenayah Kebangsaan( Jabatan Keadilan Amerika Syarikat ) pada tahun 1996 sahaja, purata 2713 kes rogol berlaku setiap hari. Statistik ini menunjukkan bahawa kebanyakkan perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

7. Menurut statistik rasmi di United Kingdom, alkohol menyebabkan hampir 45-46 peratus kejadian jenayah, ia juga melibatkan 39 peratus keganasan dalam rumah tangga dan kajian juga menunjukkan hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

8. Minum arak adalah ibu segala kejahatan dan merupakan sebesar-besar dosa. Ini dijelaskan oleh Rasulullah saw menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At- Tabrani yang bermaksud “Arak adalah ibu segala kejahatan dan ia adalah sebesar-besar dosa”.

9. Sesuatu yang banyak memabukkan sekalipun sedikit hukumnya tetap haram berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi, An Nasai dan Abu Daud yang bermaksud: “Tiap-tiap sesuatu yang memabukkan dalam jumlah yang banyak atau sedikit maka hukumnya adalah haram”. Oleh itu tidak ada alasan untuk meminum arak walaupun seteguk atau pun setitik.

10. Orang yang minum arak dan melaksanakan urusan yang berkaitan dengannya akan dilaknat dan dimurkai oleh Allah SWT. Sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Ibnu Majah daripada Anas ra bermaksud: ” Sepuluh orang yang dikutuk Allah berkaitan dengan arak ialah pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.”

Dengan itu jelaslah kepada kita bahawa semua urusan yang berkaitan dengan arak menjadi haram dan dilaknat oleh Allah SWT.

Sumber Siasah 10-16 oktober 2010

Posted with WordPress for BlackBerry.

Comments are closed.

%d bloggers like this: