Istilah Negara Islam Diseleweng?


Ini yang aku baca, ini maklumat yang aku dapat, kepada puak-puak yang mengiktiraf Malaysia negara Islam. Selagi umno berkuasa selagi itu hasrat mengIslamkan Malaysia terbantut.

Taubat Seorang Bekas Pegawai Syar’ie (Untuk pedoman semua rakyat Malaysia beragama Islam – mesti baca!)

Oleh: Muhammad Hafizi
Sumber Facebook

Suatu hari sebelum hari umat Islam berpuasa, saya duduk di sebuah kedai makan bersama seorang sahabat, Amir sambil menikmati juadah pagi selepas berjoging. Kemudian, kami didatangi seorang kenalan lama sewaktu zaman sekolah dahulu. Lain benar rupanya dengan janggut yang disimpan panjang tetapi tampak rapi. Tidak lain tidak bukan beliau adalah Abang/Ustaz Amran (bukan nama sebenar, bergelar ustaz sewaktu sekolah kerana alim dalam bab agama). “Assalamu’alaikum…lama tak jumpa antum”, sapa beliau. “Wa’alaikumussalam. Laa, panjang umoq. Abang dok wat apa lani? Nampak lain sungguh noo”, balasku mesra.” Macam biasa lah, lani ni tak tentu masa, malam dok bagi kuliah, siang cari makan cara meniaga. Tak macam antum, makan gaji. Cukup bulan jolok kad keluaq la titik peluh”, Ustaz Amran menjawab seloroh dengan gurauan sinis, tak ubah seperti sikapnya dahulu yang suka mengusik kenalan. “Eh, bukan abang pegawai agama ka? Sempat ka berbisnes? Ataupun dok tampung cukup makan bini no. 2?”, tanya Amir pula sambil aku ketawa kecil.

 

Ustaz Amran nampak agak termenung kala mendengar soalan Amir. Dengan nada perlahan beliau memulakan cerita. “Antum semua faham ka, apa maksud Jabatan/Majlis Agama Islam?”. Kami mula memandang sesama sendiri. Sambil menghirup kopi panas yang baru dipesan, riak wajahnya nampak seperti mahu memulakan suatu topik panjang. “Sebenarnya, dulu, memang ana berminat nak jadi ustaz dan paling tinggi cita-cita ana nak jadi hakim mahkamah syari’ah. Waktu tu, ayah ana nasihatkan ana, daripada menjadi pegawai agama jabatan kerajaan, lebih baik jadi guru agama pondok yang ayah ana usahakan dengan tokwan/datuk ana. Ana pun agak terkilan dengan saranan ayah waktu tu sebab pada pendapat ana, apa gunanya belajar tinggi-tinggi bidang syari’ah sampai Mesir/Jordan/Makkah tapi balik hanya mengajar pondok, tak mempraktikkan segala ilmu di kalangan masyarakat….beberapa waktu hampir tamat belajar di luar negara bidang syari’ah, ayah meninggal dunia. Ana sedih tetapi terubat sedikit dengan berita tawaran menjadi pegawai agama jabatan agama Islam sebuah negeri. Dipendekkan cerita, lepas 4 tahun ana bekerja, datang rasa seperti bersalah dalam diri. Tiba-tiba teringat saranan ayah yang ketika dulu suruh membantu mengajar ilmu agama di pondoknya.”

 

Kami tak sedar mi goreng yang dipesan semakin sejuk. Sambil menjamahnya, tiba-tiba dengan tidak semena-mena kami perasan setitis air mata Ustaz Amran mengalir tapi disembunyikan dan sempat disapu, sambil beliau menyambung. “Antum pernah dengaq dak kisah bani Israil yang ingkar arahan Allah? Kita semua maklum kan, bani Israil ni terlaknat sebab suka ingkar dan merubah kitab-kitab suci. Hmm, lani kita pun sama dengan depa lah”. “Sama? apa yang sama?”, soalanku seakan dapat diteka oleh Ustaz Amran dengan umpanan persoalannya sebelumku. Beliau pun menyambung lagi “Suatu hari ana balik kampung musim raya tahun lepas. Mak ana bagitau yang dia lupa ada pesanan ayah untuk ana sebelum meninggal dalam bentuk surat yang ditulis dalam sampul kitab Mat’la’ul Badrain, kitab kegemaran ana yang ayah selalu baca untuk ana waktu sekolah rendah dulu. Ana bukak kitab tu, terasa seolah aura pelajaran ayah kembali meresap dalam hati…rasa sayu dan sebak pun datang. Sampul tu, ana bukak perlahan lalu tulisannya ana baca. Terus air mata ana jatuh macam air terjun kerana nasihat dan pengajaran Allahyarham ayah yang begitu bermakna”. Kami semakin asyik mendengar cerita beliau. Tertanya-tanya juga apa isi kandungan surat tu. Ustaz Amran memohon diri ke tandas untuk mencuci mukanya. Selepas duduk, beliau pun menyambung semula “Dalam permulaan surat tu tertera ayat Al-Qur’an, surah Al-Baqarah ayat 75 “Apakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan dari mereka mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya sedang mereka mengetahui”. Lepas tu ada sambungan lagi petikan dari surah Ali-‘Imran ayat 78 “Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutarkan lidahnya membaca al-Kitab supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian dari al-Kitab, padahal ia bukan dari al-Kitab dan mereka mengatakan “Ia (yang dibacanya itu) dari sisi Allah”, padahal ianya bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui”.

 

Ana tersentak dengan ayat Al-Qur’an tu. Memang tempelak untuk bani Israil sebab merubah agama Allah tapi cuba kita perhatikan betul-betul dan teliti, adakah tempelak tu sekadar macam kita baca komik dan cerita dongeng sahaja dan bukannya untuk pedoman kaum selepasnya? Dari tulisan ayah tu, barulah ana faham, yang sebenarnya pilihan kerjaya ana salah sebenarnya…sebab tempelak tu pun kena kat ana selaku pegawai syari’ah.” Terangnya panjang lebar. “Maknanya undang-undang syari’ah/syariat Agama Islam negeri kita ni ada yang tak kena lah? Macam kes bani Israil ni?” Tanya Amir ingin kepastian. “Memang tak kena lah. Cuba semak sebagai contoh Akta Kesalahan Jenayah Syari’ah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997, dan yang terkandung di negeri-negeri lain pun, tak menetapkan hukuman Al-Qur’an dan Hadis sepenuhnya dalam kesemua seksyen. Peruntukan dalam akta menyatakan mana-mana lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan pasangan bukan pasangannya yang sah nikah apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 (tiga) tahun atau disebat TIDAK melebihi 6 (enam) kali atau dihukum bagi mana-mana kombinasi hukuman itu. Inilah salah satu contoh keputusan terkandung mahkamah syari’ah. Kenapa tak berkeputusan selari dengan Al-Qur’an Hadis? Kita kan Islam. Memang bertentangan la dengan Al-Qur’an. Cuba rujuk surah An-Nur ayat 2…Lepas tu Sunnah Rasul tambah pulak hukuman rejam ke atas penzina muhsan dan buang daerah ke atas ghair muhsan (bujang). Ana banyak akui terlibat dengan kes-kes macam ni. Yalah, kita akui banyak kes perceraian, bab nikah kahwin, harta pusaka dan sebagainya kita terima pakai syari’at tapi bila bab jenayah banyak kita ambil tak ambil…hakim cuma terang kat member yang bersalah dalam kandang tertuduh tentang ayat-ayat Qur’an sekian-sekian hukuman dia kalau buat zina, tapi hukuman tetap diubah pakai seksyen sendiri…berhukum sebahagian dengan Al-Qur’an, kemudian berhukum sebahagaian dengan cara sendiri. Sebijik macam Yahudi laknat lah.” Balas Ustaz Amran panjang lebar. “Hehe kalau macamtu, orang kaya senang la ustaz. Skandal-skandal pastu bayaq la RM10k. Macam surat pengampunan (indulgences) Kristian Katolik.” Seloroh Amir pula. “Hak tu antum pikiaq sendiri. Nak cakap banyak pun payah, kata kita politik pulak. Siapa mempolitikkan agama lani? Kita mengambil hukuman bukan dari hukum Allah dan Rasul. Kemana kita lani? Nak tuduh sesat, orang kata kita yang tuduh ni puak ekstrimis, padahal ekstrimis (melampaui batas) dalam istilah Islam adalah kita sendiri yang mereka-reka sesuatu sebagai hukuman, lepas tu dakwa ini adalah hukuman syari’ah. Ana malu…sebab tu ana berenti. La ni tulong sambung Allahyarham ayah mengajaq pondok kat kampung. Dulu, kawan ana peguam sivil bukan Islam pun boleh tanya ana “Hukum Islam bukan kena ikut hudud ka? Kenapa nak bayar-bayar pula?” Ana sendiri pun tak reti nak jawab.

 

Perbualan kami pun berakhir selepas beberapa ketika kerana cuaca seakan hujan. Mustahilkah kita menjadi seperti kaum bani Israil yang telah dilaknat Allah dalam Al-Qur’an? Renung-renungkan….

Posted with WordPress for BlackBerry.

Comments are closed.

%d bloggers like this: