Luahan seorang Rakyat


Baru tulis pagi tadi…

Assalamu’alaikum wrh wbt

Pehin Sri sudah dapat inspirasi untuk tarikh pilihanraya umum Sarawak. Namun masih belum ada klu bila PRU akan diadakan. Sebelum ini, masing-masing keluarkan teori tentang tarikh pembubaran DUN. Apapun, teori tetap tinggal teori, yang kadangkala sekadar anginan tanpa analisis terperinci, yang tidak boleh diguna pakai. Perkara pokok, Pehin Sri sudah ada perkiraan tarikhnya.

Pada masa in juga, ada cakap-cakap mengenai Pilihanraya Umum seluruh Malaysia. Kemungkinan berlaku serentak dengan pilihanraya umum di Sarawak, & kalau mengikut kata orang BN & juga analisis Pakatan Rakyat (PR), kemungkinan besar akan berlaku serentak. Lebih mudah untuk melumpuhkan kekuatan PR. Itu kata merekalah.

Walau bagaimanapun, satu langkah yang dirasakan kurang bijak yang dilakukan oleh kerajaan dengan situasi semakin dekatnya pilihanraya ini adalah dengan menaikkan harga barang. Baru-baru ini, RON95 naik 5 sen. Harga gula naik, gas naik, diesel juga naik.

Kenapa kurang bijak?

Sepatutnya, pada saat semakin dekat dengan pilihanraya inilah kerajaan yang dikuasai/diterajui oleh Barisan Nasional menurunkan harga-harga barang, dengan erti kata mahu memujuk hati rakyat untuk mengundi mereka. Sudahlah luka lara akibat kenaikan harga petrol beberapa bulan yang lepas belum terubat, kini harga barang termasuk petrol buat kesekalian kalinya lagi. Sedangkan Malaysia adalah negara pengeluar minyak, maka sepatutnya harga petrol di Malaysia sepatutnya lebih murah.

Kenapa begini?

Adakah sebenarnya kerajaan semakin tidak ada duit / miskin? Kalau hendak dikatakan miskin, tidak juga. Baru-baru ini, semasa pembentangan bajet pun sudah diumumkan tentang skim Rumah Pertamaku untuk mereka yang belum memiliki rumah & berpendapatan isi rumah RM3,000.00 ke bawah. Tiada lagi downpayment 10% seperti lazimnya (zero downpayment), akan tetapi akan dibiayai oleh kerajaan amaun itu. Bukankah kaya namanya tu?

Bukan nak kata pengwujudan skim tersebut sebagai suatu perkara yang tidak baik, malah sebenarnya memberi peluang untuk lebih ramai individu untuk memiliki rumah sendiri tanpa perlu lagi untuk menumpang di rumah mertua.

Harga barang naik, ada yang mengandaikan bahawa langkah pengurangan subsidi & kenaikan harga barang ini adalah akibat kepentingan kroni-kroni UMNO-BN yang perlu dijaga. Lantak merekalah kalau itu sebenarnya yang berlaku. Orang yang zalim & tidak adil sememangnya akan masuk neraka selagi tidak bertaubat. ALLAH SWT sudah jamin bahawa tidak ada yang akan dapat menahan perit neraka. Maka, sesiapa yang rasanya sudah tebal & lut api kulitnya, persilakan untuk lakukan penyelewengan & pengkhianatan terhadap duit & hak rakyat!

Bak kata pepatah orang putih / bahasa Inggeris, what’s done is done. Apa yang berlaku telah pun berlaku. Tidak dapat diputarbalik masa. Harga barang sudah naik. Harga petrol naik berkali-kali, walaupun kononnya ekonomi dikatakan semakin pulih.

Pada pilihanraya akan datang, orang kita sepatutnya sudah lebih bijak memilih. Saya kira, secara logik tidak ada sesiapa yang mahu dikhianati & dimakan duitnya, & tidak ada sesiapa yang akan mengangkat orang-orang jahat seperti ini sebagai pemimpin.

Kita musykil, harga petrol semakin naik. Kalau dulu, mileage kereta untuk tangki yang diisi RM10.00 boleh bergerak dalam jarak yang tidak kurang jauh. Ulang-alik dari perumahan ke bandar sahaja boleh 2-3 kali. Sekarang terasa begitu singkat sahaja masa yang diperlukan untuk menghabiskan tangki minyak kereta yang diisikan RM10.00. Tapi logiklah, harga petrol naik. Bimbang juga kalau suatu hari nanti, harga petrol boleh mencecah harga sehingga ke tahap RM10.00 boleh digunakan untuk satu pusingan trip sahaja, pergi balik pejabat & kemudian esok isi semula. Sehari RM10.00, kalau sebulan mahunya RM300.00. Itu kalau kereta CC kecil. Kalau CC besar, menangis tuan punya kereta! Alamatnya, makan taugeh & kangkung belakang rumah sahajalah jawabnya.

Oleh: Ibn Abdillah Al-Sarawaki

Posted with WordPress for BlackBerry.

Comments are closed.

%d bloggers like this: