Barang Naik Kerajaan Cuba Menyalahkan Peniaga.


Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap kenyataan amaran Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati sebagai usaha untuk mengalih isu kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana menaikkan petrol, diesel, gas dan gula pada 4 Disember 2010.

Beliau cuba hendak menyalahkan peniaga kerana menaikkan harga barang, dan hendak menjadi hero rakyat dan pembela rakyat, kononnya barang naik bukan salah kerajaan, tetapi peniaga. Perlu diingatkan bahawa semua barang niaga dibawa dengan kenderaan memakai minyak bukan dengan air liur.

Nampaknya kerajaan resah pada hari ini akibat tidak bijak urus khazanah negara yang melimpah ruah sehingga rakyat derita dengan kenaikan harga barang yang melambung. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia ini orang yang bijak dan telus. Sepatutnya pemimpin BN perlu belajar daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang bijak urus dan cuba untuk mengagihkan harta negeri kepada rakyat. Kebijaksanaan pimpinan PAS di Kelantan yang mampu bertahan sampai 20 tahun walau pun dengan kekangan dan tekanan dariapda pusat. Kelantan tidaklah banyak hasil, tetapi mampu mengurus dengan baik dan teratur. Ketika negeri yang di bawah pentadbiran BN menghadapi masalah kewangan, Alhamdulillah Kelantan selamat daripada malapetaka buruk ini.

Pihak kerajaan perlu mengambil ingatan daripada pemimpin Pakatan Rakyat, apabila minyak naik maka semua perkara akan naik. Selepas ini tarif elektrik akan naik pula. Senang sungguh menjadi pemimpin BN yang mentadbir negara. Jikalau wang tidak ada jalan keluarnya dengan membebankan rakyat dengan menaikkan tol, letrik, minyak, saman ekor dan apa sahaja yang boleh menjadi wang untuk kambus gaung yang begitu dalam kerana boros dan tidak bijak mengurus.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments are closed.

%d bloggers like this: