Surat Terbuka Kepada ISMA


HARAKAH DAILY : Surat terbuka kepada ISMA Pasca PRU13

Keputusan PRU13 telah rasmi diumumkan. BN berjaya mengekalkan majoriti mudah di parlimen dengan 133 kerusi. PR pula berjaya menambah bilangan kerusi di parlimen. DAP mendapat 38 kerusi, PKR 30 dan PAS 21.

Daripada taburan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti dalam parlimen, secara mudahnya boleh disimpulkan bahawa berkurangnya kerusi yang dimenangi oleh golongan Islamis. Yang saya maksudkan dengan Islamis ialah orang yang benar-benar membawa ideologi Islam dalam perjuangan politik mereka. Yang tinggal hanyalah 21 orang ahli perlimen PAS dan mungkin beberapa orang ahli parlimen daripada PKR. Umno walaupun memenangi begitu banyak kerusi, namun kita semua tahu mereka tidak membawa perjuangan Islam sebagaimana yang diharapkan.

Telahan saya selepas ini ialah, ISMA akan merujuk keputusan pilihanraya ini sebagai kekalahan besar buat Islam. Mereka akan melaung-laungkan bahawa suara Islam dalam parlimen sudah berkurangan. Orang bukan Islam dari kalangan DAP akan mendominasi. Bahkan sebenarnya laungan begini sudah bermula awal lagi sebelum pilihan raya. Semuanya boleh dibaca di laman web rasmi ISMA.

Lantaran keputusan ini, akan mulalah berbunyi slogan-slogan seperti PAS sudah tidak dominan, PAS adalah parti yang lemah dalam PR, PAS hanya menjadi kuda tunggangan DAP, PAS harus bergabung dengan UMNO untuk menguatkan suara Islam dalam parlimen dan macam-macam lagi.

Benar, suara golongan Islamis dalam parlimen berkurangan sejajar dengan berkurangnya kerusi PAS (Umno tidak diharapkan untuk membawa suara Islam). Saya yakin ISMA akan menyalahkan PAS dalam hal ini kerana tewas banyak kerusi sedangkan DAP berjaya menang banyak. Namun, saya merasakan yang sebenarnya jari perlu dituding kepada ISMA.

Mengapa orang Melayu Muslim tidak mengundi PAS? Mengapa PAS yang bertanding di kawasan majoriti Melayu Muslim kalah kepada calon-calon Umno sedangkan merekalah yang membawa suara Islam? Antara jawapannya adalah kerana, orang Melayu Muslim termakan racun yang dihidangkan oleh NGO seperti ISMA dan PERKASA. Begitu juga Umno.

ISMA dan PERKASA (juga Umno) menjaja propaganda kononnya jika PR menang, DAP akan jadi PM, agama rasmi negara akan jadi Kristian, Malaysia akan jadi negara sekular (kejap negara Kristian, kejap sekular, mana satu yang betul?), Malaysia akan jadi seperti Singapura, orang Melayu akan ditindas, ideologi pluralism dan liberalism akan berleluasa, LGBT akan diiktiraf, dan macam-macam lagi.

Inilah propaganda beracun yang telah dimomokkan kepada orang Melayu Muslim sehingga mereka takut untuk mengundi PAS. Bagi mereka, mengundi PAS akan menyebabkan DAP berkuasa dan berlaku perkara-perkara di atas.

Nah ISMA, inilah kesan propaganda yang anda telah sebarkan dalam masyarakat. Jangan menyalahkan orang lain yang menyebabkan suara Islam semakin sunyi di parlimen. Ia adalah angkara anda sendiri.

Anda menyangka bahawa anda boleh menambah suara Islam di parlimen dengan masuk bertanding di tujuh kerusi parlimen namun anda tewas (dan hilang wang deposit) di semua kerusi tersebut. Lebih malang lagi, mesej beracun yang anda bawa semasa berkempen merebak ke seluruh tanah air menyebabkan orang Melayu Muslim menolak PAS.

Saya hormat gerak kerja pemuda-pemuda ISMA yang bertungkus-lumus menjalankan kempen di medan dan ruang siber. Gerak kerja kalian yang sangat hebat dan kemas menyebabkan mesej yang kalian bawa berjaya menjangkau dan menembusi minda audiens Melayu Muslim yang ramai diseluruh negara. Namun apa yang malang ialah, mesej tersebut beracun dan kesan itu ditanggung oleh PAS.

Bahaya Mesej Perkauman dan Prejudis ISMA perlu sedar bahawa mesej yang mereka bawa sebenarnya menyemai api perkauman dan prejudis dalam kalangan orang Melayu Muslim. Apatah lagi ISMA sebagai sebuah NGO Islam. Orang Melayu akan melihat mesej yang dibawa oleh ISMA ialah ajaran sebenar Islam dan menganggapnya sacred dan perlu diikuti. Walaupun PERKASA membawa mesej dengan nada yang sama, orang Melayu Muslim yang lurus hatinya tidak mudah terikut kerana PERKASA tidak mempamerkan imej Islam.

Kesannya, orang Melayu Muslim termakan racun prejudis dan perkauman. Mereka akan anggap orang bukan Islam di Malaysia sebagai musuh yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu Muslim. Lebih malang lagi, orang bukan Islam pula akan melihat ajaran Islam adalah buruk dan penuh kebencian terhadap mereka (kerana kalian ialah NGO Islam, mereka anggap kalian mewakili Islam). Mereka akan menganggap, Islam membenci mereka. Mereka akan melihat Islam dan penganutnya memusuhi mereka. Akhirnya, mereka prejudis terhadap Islam dan seterusnya menutup terus pintu dakwah Islam kepada mereka. Ini yang kalian mahukan?

Boleh Bawa Keganasan Orang Melayu Muslim di Malaysia lurus dan tulus hatinya. Apabila mereka disogokkan dengan citra-citra tentang konspirasi jahat golongan Cina DAP (ditambah lagi dengan label ultra, cauvinis etc.), hati mereka akan membara. Akan timbul dendam kesumat dalam jiwa mereka. Apatah lagi yang menyebarnya dalam kalangan ustaz dan ulama (Majlis Ulama’ ISMA). Bara dalam hati ini akan terus menyala dan membakar, sehingga tiba suatu ketika, ia akan meletus seperti gunung berapi. Pada ketika itu, tak mustahil berlakunya pertumpahan darah. Si Melayu Muslim bertindak terhadap Si Cina DAP hanya kerana persepsi mengenai konspirasi yang telah dicanang-canang oleh ISMA. Adakah kalian mahu ini terjadi? Mustahil? Ia pernah berlaku dalam lipatan sejarah.

Masih Belum Terlewat Sedarlah wahai saudaraku dalam ISMA. Mesej yang kalian bawa tentang konspirasi DAP itu kebanyakannya bersandarkan persepsi, andaian dan ilusi semata-mata. Mungkin ada yang benar, namun banyak yang ditokok-tambah dan diperbesar-besarkan. Masih belum terlewat untuk membetulkannya. Sebelum ia merebak dan membara dalam hati umat Melayu Muslim, ada baiknya kaliah hentikan. Jadikan ISMA sebagai sebuah NGO yang boleh diterima baik oleh semua golongan – Melayu dan bukan Melayu.

Kita hidup dalam negara yang unik. Tiada negara Islam yang menyamai demografi masyarakat seperti Malaysia. Kita tidak boleh meniru model negara lain seperti Mesir. Saya yakin ISMA banyak mengambil konsep dari Mesir kerana kebanyakkan qiyadahnya mendapat tarbiyah yang lama di sana. Hakikatnya, ia tidak sama. Konsep nasionalisme Arab dalam Muktamar Kelima Majmuk Rasail Imam Al-Banna tak boleh disamakan terus dengan Melayu di Malaysia.

Negara kita punyai waqi’ tersendiri. Negara kita mampu membawa model tersendiri sebagai darul dakwah yang hebat. Jika model darul dakwah ini berjaya dibina, ia boleh menjadi rujukan seluruh dunia.

Islamis Dalam PAS dan PKR Juga Mainkan Peranan Kalian selalu menjaja cerita tentang konspirasi DAP dan menyalahkan PAS tentang kelemahan mereka dalam tahalluf siyasi PR. Sedarkan kalian, bukan hanya kalian yang ikhlas dan ingin menegakkan Islam di negara ini. Bukan hanya kalian yang cakna dan sensitif tentang agenda musuh-musuh Islam. Apakah kalian mengira golongan Islamis (amilin Islam) dalam PAS dan PKR tidak sensitif? Apa kalian menyangka golongan Islamis dalam PAS dan PKR begitu naïf dan dangkal tentang konspirasi musuh? Apakah kalian menyangka mereka akan membiarkan begitu saja jika terdapat unsur konspirasi jahat dalam tahalluf mereka?

Muzakarah, Tinggalkan Andaian, Berpijaklah Pada Yang Benar Saya menyeru saudara-saudaraku dalam ISMA, tinggalkanlah andaian-andaian yang kalian yakini itu. Berhentilah berpijak pada persepsi, sentimen dan prejudis. Jadilah berani untuk berhadapan dengan semua pihak, sekalipun mereka musuh. Jika ada andaian atau syak terhadap sesuatu isu, ajaklah bermuzakarah. Dapatkan penjelasan. Adakan dialog. Bertanyalah selumat-lumatnya. Dari situ kalian akan beroleh kejelasan, sebagaimana yang kalian buat terhadap Mohd Sayuti Omar. Ia lebih sihat dan sejahtera untuk kalian dan untuk semua.

Saya berharap, penyertaan ISMA dalam PRU kali ini membuka minda dan memberi kesan yang besar kepada mereka mengenali sendiri hati budi masyarakat bukan Islam yang mereka paranoid selama ini. Dengan lebih terbukannya minda mereka, semoga akan berubahlah ijtihad mereka terhadap slogan-slogan mereka selama ini.

Comments are closed.

%d bloggers like this: