Politik Kotor?

Dengan menghapuskan umno, kegiatan politik dapat dibersihkan. Lihatlah taktik/cara kotor/fitnah/merapu dari ahli parti tahap longkang.

PAS beri amaran pada Zainuddin Maidin

Parti Islam Se-Malaysia memandang serius fitnah yang dilemparkan oleh
bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengatakan bahawa semasa Tragedi 13 Mei 1969 PAS minta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia. Kenyataan yang dibuat dalam temuramah bertajuk “Zam Dedah Hasutan Jahat PAS” bersama umno-online itu adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang-orang Cina dan rakyat keseluruhannya.

Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat. PAS yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukkan PAS dan sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka. Umno sudah sinonim dikaitkan dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan propaganda jahat demi survival politik mereka yang kini tertekan dengan penolakan bukan Melayu dinegara ini.

Tuduhan bahawa PAS penyokong Indonesia semasa konfrontasi juga sengaja direka bagi menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
PAS menuntut Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk membuat laporan Polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kalau Imigresen Gagal

Imegresen umpama pagar kepada sistem Pentadbiran Negara. Kalau bocor takkan nak biar Je.

Oleh: Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Imigresen Tidak Amanah, SPRM Tiada Kuasa, Menteri Dalam Negeri LetakJawatan Segera

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan mempertingkatkan
Intergriti dan Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam
langkah memerangi rasuah dinegara ini.

Laporan Berita Harian pada hari ini mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalangan penguatkuasa Imigresen di Pulau Ketam adalah antara contoh kelemahan sistem pentadbiran negara. Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa Imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara asing ke negara ini.

PAS amat kecewa dengan laporan ini dan mahu Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab meletakan jawatan dan penguatkuasa yang.tidak amanah ini dipecat segera.

PAS yakin bahawa rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.

Kelemahan urustadbir Imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan
negara. PAS mahu rombak besar dibuat dalam organisasi Imigresen dan
mahu SPRM membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan
Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM),
Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya orang-orang politik dalam pentadbiran Kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat. SPRM seharus menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat dan Menteri. Kerajaan perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.

PAS yakin, begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi
Kerajaan kerana setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan kecurangan-kecurangan yang sukar diterima rakyat.
Oleh itu setiap Kementerian dan Jabatan Penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM serta meningkatkan intergriti jabatan mereka.

PAS menasihatkan agar para penjawat awam meningkatkan intergriti
mereka dan menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya. Tidak semua
penjawat awam mengamalkan rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak
susu sebelangga. PAS yakin, amalan rasuah dan kecurangan intergriti
ini akan dapat dihapuskan jika pemimpin yang menguruskan kerajaan ini
terdiri dari orang-orang yang amanah kerana ikan yang busuk hanya
bermula dari kepalanya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Timing Belt

Kalau nak senang di dunia kena ada ilmu dan kalau nak senang akhirat juga kena ada ilmu. Hakikatnya kalau nak tukar timing belt di worksyop luar kemungkinan anda akan memerlukan kos paling kurang RM280 dan kalau anda ada kemahiran kos alatganti lebih kurang RM120 saja. Kemahiran ini tidak susah dan perlu belajar dari mereka yang ahli.

Ketua Menteri masih diperlukan?

Ini merupakan kegagalan kepimpinan BN sarawak kerana terlalu bergantung kepada individu. Selama ini mereka gagal mencari pelapis kerana asyik berada dibawah ketiak Ketua Menteri sekarang.

Walaupun begitu rakyat sudah bersedia untuk berubah kerana nasib negeri adalah dibawah tanggungjawab setiap rakyat.

Sumber : Berita Harian

2010/08/26

KUALA LUMPUR: Kesediaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengundurkan diri selepas hampir lima dekad aktif dalam politik dan 29 tahun menerajui negeri itu, mendapat reaksi berbelah-bahagi pelbagai pihak.

Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak setuju beliau berundur ketika ini, manakala penganalisis politik berpendapat sudah tiba masanya berbuat demikian untuk menyerahkan kuasa kepada muka baru.

sila layari Berita Harian untuk maklumat seterusnya..

ISU HUDUD DAN NEGARA ISLAM BERGEMA LAGI

Oleh:Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man

14 Ramadan 1431 H | 24 Ogos 2010

Isu Hudud dan Negara Islam akan sentiasa menjadi polimik antara PAS dan DAP khususnya, selagi kefahaman dan penghayatannya tidak dilaksanakan. Persoalan utama ialah memahami dasar perjuangan PAS, yang berteraskan Dasar Islam. Sebagai umat Islam, melaksanakan perintah Allah adalah satu kewajipan yang dituntut oleh syarak. Kerana itu, bagi PAS melaksanakan hukum hudud, qisas dan takzir adalah satu kewajipan bagi pemerintahan Islam.

Oleh kerana UMNO yang memerintah lebih 50 tahun tidak melaksanakannya, maka timbullah tanggapan di kalangan orang bukan Islam, bahawa perlaksanaannya tidaklah menjadi tuntutan. Lantaran itu, kami jelaskan bahawa UMNO mengabaikan kewajipan yang sepatutnya mereka sebagai pemerintah melaksanakannya. Pengabaian ini menyebabkan timbulnya pertembungan antara PAS dan UMNO hingga kini. Asas kepada penentangan ini ialah UMNO mengabaikan kewajipan agama, yang telah difardhukan oleh Allah, manakala PAS berjuang agar kewajipan ini dilaksanakan.

PAS menekankan bahawa manusia adalah milik Allah, dan begitu juga bumi adalah milik Allah. Maka sebagai hamba Allah, kita mesti melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Sekiranya perintah dan larangan Allah diabaikan, pasti akan mengakibatkan timbulnya pelbagai kegawatan dalam masyarakat manusia.

Hari ini kita terpaksa menerima hakikat gagalnya sistem perundangan mengawal pelbagai kepincangan yang berlaku. Peningkatan kadar jenayah, pembunuhan, pembuangan bayi, dadah, perzinaan, kes kecurian, penderaan dan lainnya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan.

Manifestasi kegagalan ini boleh dilihat dengan indeks jenayah yang meningkat, penjara-penjara yang terpaksa menampung penjenayah yang di luar kouta yang dibenarkan, pusat-pusat serenti yang sentiasa bertambah, bahkan kini ada cadangan sekolah khas bagi ibu mengandung, pemberian jarum suntikan dan bekalan dadah sentatik kepada penagih dadah. Semuanya ini adalah gambaran gagalnya sistem ciptaan manusia, bahkan ianya membebankan negara.

Hudud, adalah sebahagian daripada perundangan Islam. Umat Islam yang menerima Islam sebagai agama bermakna menerima seluruh sistem yang ada dalam Islam. Allah menegaskan “Wahai orang yang beriman, masuklah ( terimalah ) seluruh ajaran Islam, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.”

Oleh kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, maka golongan bukan Islam tidak terikat dengan sistem dan perundangan Islam. Contohnya mahkamah syariah, ianya hanya membicarakan kesalahan di kalangan orang Islam, manakala orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah mahkamah syariah, walaupun kini ianya tidak melibatkan kes-kes jenayah. Umpamanya kalau ada kes khalwat, hanya pesalah Islam dihukum, sedangkan pesalah bukan Islam tidak dihukum.

Meneliti peningkatan kes jenayah kini, yang majoritinya umat Islam, maka sangat penting ditekan agar umat Islam yang melanggar batas larangan syarak dapat dibimbing ke arah kehidupan positif lagi bermakna bagi negara. Hukum adalah sebahagian dari pada proses mendidik manusia agar menjadi warganegara yang berguna. Namun seandainya hukum yang ada gagal mengawal jenayah, bahkan ianya tidak menakutkan penjenayah bagi mengulagi jenayah di lakukan, bermakna kita sebenarnya gagal dalam membentuk satu sistem perundangan yang tepat.

Sebagai warga negara kita tentulah sangat inginkan sebuah negara yang aman, bebas daripada jenayah, pemimpin dan rakyat dapat membentuk satu kehidupan yang harmoni, golongan yang kaya tidak bimbang keselamatan hartanya daripada dicuri, anak-anak boleh bebas keluar dari rumah; dan ibu bapa tidak lagi bimbang keselamatan anak dari dirogol, diculik, diperdagangkan bahkan mungkin dibunuh.

Negara Islam.

Senaraikan bentuk negara terbaik yang anda inginkan samada ciri pemimpinnya, sistem pemerintahannya, tanggungjawab rakyat kepada pemimpin dan sebaliknya kewajipan pemimpin kepada rakyatnya serta bentuk kemajuan negara yang ideal bagi anda. Saya katakan itulah negara Islam. Sayangnya negara Islam kehilangan model sebenar, sehingga pelbagai persepsi timbul dalam pemikiran masyarakat, khusunya bagi masyarakat bukan Islam. Apakah bentuknya seperti negara Taliban di Afganistán, atau negara Iraq di era Saddam dan kini, atau Saudi yang majoritinya umat Islam. Kehilangan model ini menyebabkan timbul kebimbangan terhadap apakah bentuk negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Dengan kemenangan PAS di Kelantan memerintah selama 20 tahun, apakah ada sesuatu yang menakutkan orang bukan Islam untuk mendiami negeri tersebut? Selama 20 tahun pemerintahan, Kelantan bebas dari pemimpin rasuah, berbanding sepenggal jadi MB bagi negeri UMNO/BN. Kehidupan pemimpin yang sederhana, rakyat meneruskan aktiviti ekonomi dengan baik, agihan kekayaan yang sampai kepada rakyat sehingga Kelantan mampu memulakan negeri berkebajikan mendahului negeri-negeri lain dalam keadaan sebuah negeri yang miskin, dengan tekanan politik dan ekonomi yang berterusan.

Bayangkan kalau negara kita ini dengan hasil minyaknya, gas, kelapa sawit, getah, bijih besi, emas dan pelbagai sumber kekayaan yang lain, tentulah kita mampu menjadikan negara ini sebuah negara yang makmur dan kehidupan rakyatnya yang mewah.

Bagi PAS nama negara tidak penting samada kita menerima negara Islam atau apa jua nama yang sesuai, kerana yang penting ialah ciri-ciri negara tersebut yang tidak bertentangan dengan nilai Ilahi. UMNO di era Tun Mahathir juga mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun ianya dipenuhi dengan rasuah, penyelewengan, salah urus tadbir, ketirisan yang semakin membesar, bahkan tindakan melindung pemimpin yang terlibat dengan skandal rasuah sangat mengaibkan bagi sebuah ‘negara Islam’.

Kita boleh mengekalkan bentuk negara yang ada dengan menguatkuasakan perundangan bagi membina sebuah negara yang bermoral. Membasmi rasuah dan penyelewengan, salah guna kuasa, dan lainnya. Bagi orang Islam mereka terikat dengan sistem perundangan Islam, manakala bagi golongan bukan Islam, mereka juga terikat dengan sistem perundangan sivil yang ada. Kerana bagi umat Islam, pemimpin mestilah yang paling tinggi akhlaknya, mampu menjadi model kepada rakyat, bertaqwa dan tidak fasiq, mampu melaksanakan keadilan kepada semua, memberi hak kepada yang berhak dan mengambil hak bagi yang tidak berhak, dan mengekalkan seluruh kebaikan dalam sistem pemerintahan negara.

Negara sekular bertentangan dengan bentuk negara Islam, kerana sistem sekular bermakna pemisahan negara dengan agama. Bagi PAS, menerima Islam bermakna menerima seluruh sistem Islam, bukan hanya menerima dalam persoalan peribadi, dan tidak menerima Islam dalam aspek lainnya. Contohnya nilai haram bagi rasuah lebih tinggi nilainya berbanding bersalah dalam sistem sekular. Rasuah menyebabkan pelakunya dihumban ke neraka , walaupun mungkin dia terlepas di dunia. Demikian juga riba’ bagi umat Islam menyebabkan mereka kekal dalam neraka selama-lamanya berbanding ‘bersalah’ dalam sistem sekular. Rasa gerun ini perlu dididik agar mereka lebih takut kepada Allah dari undang-undang dunia.

Lantaran itu dalam proses membina negara ke arah lebih baik, apa jua sistem yang mampu membina negara, maka kita mesti menerima dan malaksanakannya. Maka bagi umat Islam, yang terbaik ialah sistem yang diturunkan oleh Allah berbanding sistem ciptaan manusia.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Noh Omar Membisu SPRM Di KSSB

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucap tahniah atas kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam pentadbirannya. Tindakan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu anak syarikat kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor. Persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan SPRM di pejabat Menteri Besar.

Tujuan penubuhan pasukan petugas khas, supaya SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB dan mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

 

PAS berpandangan tindakan ini adalah menunjukan betapa serius kerajaan PR yang hendak memastikan khazanah bumi Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum. Selama ini industri pasir adalah merupakan lubuk emas untuk kroni Umno. Kesannya yang kaya kroni, manakala negeri dan rakyat makan lumpur. Apabila industri pasir yang distruktur semula selepas Pakatan Rakyat memerintah selepas PRU 12, maka suasana telah berubah. Ini dibuktikan dengan kutipan royalti semasa Pakatan Rakyat memerintah antara tahun 2008-2009 sebanyak RM12.93 juta, jauh mengatasi zaman BN daripada tahun 2006-2007 hanya RM8.66 juta

 

Keputusan yang bijak ini telah mematikan isu pasir di Selangor, kononnya berlaku penyelewengan oleh hero pasir Datuk Noh Omar dan Datuk Seri Khir Toyo. Kita mengharapkan kalau boleh SPRM boleh buka balik fail-fail projek pasir yang dikendalikan oleh kerajaan BN dahulu, supaya rakyat tahu siapakah perompak pasir di Selangor. Sekarang Datuk Noh Omar tidak berani berkokok lagi, terutama selepas Tan Sri Khalid minta secara rasmi kepada Tan Sri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Husin Onn, Ketua Polis Negera dan Ketua Polis Negeri supaya tangkap siapa yang mencuri pasir dan langgar undang-undang. Ditambah pula dengan tindakan terbaru yang berani untuk menempatkan menubuhkan petugas khas di pejabat KSSB. Sekarang apa lagi Datuk Noh dan Datuk Seri Khir Toyo mahu?

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Bersediakah anda berkorban untuk negara.

Untuk meningkat dan menambah pendapatan negeri dan negara rakyat harus sedia berkorban.

Jangan  Naik Tarif Air Dan Cukai Tanah

Oleh: Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  supaya kerajaan negeri  menaikkan tarif air dan cukai tanah untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri. Cadangan ini dikemukakan  ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan barang keperluan harian. Pelik, Perdana Menteri yang sering melaungkan slogan rakyat didahulukan tiba-tiba itulah cadangan yang beliau kemukakan dalam mesyuarat kewangan negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.  Sepatutnya beliau sebagai Perdana Menteri dengan gaji dan elaun yang sudah melimpah ruah, kena memikirkan bagaimana untuk meringankan bebenan rakyat di negara ini. Sebaliknya otak yang ada kepada beliau  mengambil jalan pintas iaitu dengan menaikkan cukai, hapuskan subsidi, GST, saman ekor, menaikan harga  minyak. Persoalan pokok dalam menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi  yang berpunca daripada rasuah,ketirisan, beri kepada mereka yang bukan ahlinya, pentingkan kroni, hak keistimewaan orang umno tidak pernah ada di dalam fikiran mereka untuk diperbaiki supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh semua rakyat.
PAS berpandangan, cadangan ini hanya dicadangkan oleh orang yang tidak mengetahui derita rakyat bawahan di negara ini yang begitu perit, terutama di dalam bulan Ramadhan ini. Kenaikan harga barang keperluan naik begitu mendadak seperti indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
 
PAS mengucap tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertegas tidak akan menaikkan tarif air, walau pun di didesak oleh SYABAS . Malahan beliau  bersedia ke mahkamah semata-mata untuk kepentingan rakyat dan memastikan kekayaan Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.  Sekarang rakyat Selangor dapat menikmati air percuma 20 meter padu. Kerajaan Selangor dibelasah oleh pimpinan Umno kerana memberi air percuma kepada rakyat. Mereka menuduh ini satu tindakan yang membazir wang negeri. Inilah otak pemimpin Umno daripada atas hingga ke bawah, fikiran mereka sama, iaitu fikir macam mana hendak kaut hak rakyat, bukan hendak bagi hak rakyat. Selangor juga menolak cadangan projek kroni kerajaan BN dahulu untuk mengambil bekalan air daripada Pahang dengan harga RM8 bilion, sebaliknya  kerajaan Selangor akan meneroka sendiri sumber air denagan  kos RM2 bilion sahaja, dapat jimat wang rakyat sebanyak RM6 bilion.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Sudah sampai Masa PAS Ganti Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang  bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30%  ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini.  Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera di negara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat. 

PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.

 

PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman  Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti

 30%

 yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali

 syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion,

 sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.

 

PAS  pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu

  daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi

 tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

http://www.pas.org.my
penerangan@pas.org.my

Posted with WordPress for BlackBerry.

Awas Operasi Lalang Edisi 1 Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia PAS bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku  selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr  Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres  Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan  secara terbuka oleh  Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin Umno dan  NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

PAS bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika Umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan.

Pada ketika itu pemimpin Umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan  Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau  jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru.  Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan.

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

PAS mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang,  bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin Umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan Melayu malahan juga telah ditolak oleh orang Melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

http://www.pas.org.my
penerangan@pas.org.my

Posted with WordPress for BlackBerry.

Buktikan Dan Jangan Mengada-ada

Mewujudkan keadaan tidak tenang dikalangan rakyat dengan kenyataan yang mencurigakan dan siapa tak kenal mufti Perak yang pro umno.

Desak Mufti Dedahkan Perlembagaan Baru

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. PAS mendesak supaya beliau mendedahkan kandungan Perlembagaan baru dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.

 PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan. Malahan  Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19/12/2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk : 

∙         Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai 

∙         Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153 

∙         Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan 

∙         Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum 

Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama.

 PAS berpandangan sekiranya  Tan Sri Harussani Zakaria tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat  di negara ini. Sebagai seorang tokoh agama mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti. 

 

PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Posted with WordPress for BlackBerry.

Pentaksub Melayu

Bismillah…sejak lahir sampai sekarang aku tetap orang melayu. Melayunya aku sebab telah di takdir Allah. Melayu penduduk asal negeri berasa bangga, sebab dialah pemilik negeri dan kira boleh rasa besar dirik le konon.

Hari berlalu hari, umurku meningkat juga, akal sudah banyak membaca, hidup dinilai sepanjang umur. Bagiku melayu itu sebenar, apa istimewanya?. Melayu itu ugamanya Islam tapi kenapa tak solat, tak kira apa halal, tak kira apa haram..wah..wah bila cakap pasal melayu memang taksub gila kuang…kuang…kuang.

Pentaksub Melayu biasanya bila meludah akan terkena muka sendiri. Ini perkara benar berlaku. Bila bercakap pasal politik bukan main. O..PAS sudah bersama DAP kalau pembangakang menang nanti cina naik habis negeri kita. O..kuat cakap ye bila masa jual tanah dia cari cina kekek. Adik beradik tanya jual kat siapa? Cina jawapnya..kenapa tak tanya dulu adik beradik siapa yang mampu beli.

Satu lagi kes, mengutuk cina bukan main tapi bila makan dan minum masuk jugak kedai cina walaupun dia tahu babi jugak dijual disitu..inilah melayu tak guna..hanya tau meludah muka sendiri.

Jadi ingatlah jangan bergantung dengan melayu begini kerana Islam mengajar kita supaya berbuat baik kepada semua kerana Islam itu rahmat seluruh alam.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Pemimpin BN Kena Terima Nasihat Koh Tsu Koon

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain
 

PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis  Tertinggi Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding. Adat perlawanan ada pihak kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang yang baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah, setelah memerintah 18 tahun sejak 1959.

Berkat kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi.

Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN, yang tidak sabar dan tidak
tahu menjadi pembangkanag. Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah.

PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

http://www.pas.org.my
penerangan@pas.org.my

Posted with WordPress for BlackBerry.

Sepak Terajang Orang Sarawak Siri 1

Sudah berapa kali aku berkata, kita kena cerdik. Walaupun belajar tak bersijil, bila kita ada perinsip maka siapa dia yang berani tarik hidung kita. Apalagi kalau kita ni ugamanya Islam hujahnya bukan hujah kita tapi hujah Al-Quran. Wahyu dan mukjizat yang diwarisi dari Nabi Muhammad S.A.W.

Kerana mukjizat inilah para menteri dan YB ketakutan. Kerana apa?.. manusia yang membacanya tak kalis habuan, tak kalis perempuan dan tak kalis macam-macam yang merugikan dirinya dunia akhirat. Hatta..YB nak bersenang-senang pun tak boleh.

Itu pun kalau kita paham apa itu Islam. Islam itu ugama nasihat takkan YB tak boleh dinasihat. Ada juga YB bila Ust sebut/tegur pemerintah maka merah le mukanyo. Macam baru lepas makan cili kekeke. Itu Ust tak sebut lagi nama dia. Tak pasal-pasal kena tendang le Ust ke ulu..kesian Ust..tapi takpa Ust boleh membandarkan orang ulu kekeke.

Oi YB!! manas-manas pun rakyat yang undi jangan le belagak tak tentu pasal. Bila tegur kerajaan O..pembangkang..bila periksa daftar pengundi yang tegur tu haram jadah daftar pun belum lagi. Berbuih mulut..pun YB tetap senyum sebab apa?.. yang tegur tu umpama anjing menyalak lagaknya. Kesian buat penat mulut je…

Posted with WordPress for BlackBerry.

Warkah buat PM dalam Harakah

Dari rakyat untuk PM..

Surat cinta buat Perdana Menteri  
Infinitikasih

Buat Datuk Seri yang sedang bercuti, 

bercuti pula di luar negeri,

doa semoga diselamat Ilahi,

bahagia bersama anak isteri.

 

Datuk Seri yang sedang bercuti,

bercuti di mana tidak diketahui,

sedang rakyat susah sana sini,

datuk pula bercuti di luar negeri.

 

Cuti-cuti Malaysia kempen diberi,

rakyat jelata jangan membaziri,

semua ada di Malaysia ku cintai,

tapi Datuk Seri bercuti di luar negeri.

 

Tatkala Datuk sedang romantis bercuti,

hadiah 5 dalam 1 telah diberi,

minyak gula dan gas ditarik subsidi,

katanya, bukan harga dinaiki,

tapi penyelarasan subsidi.

 

Rakyat kampung diam sepi,

memikir apa makna penyelarasan subsidi,

sedang kabinet tersenyum hepi,

rakyat telah ditipu lagi,

sedang PM bercuti di luar negeri.

 

FDI merudum diam la diri,

Tib-tiba adik Datuk Seri bagi pendapat sendiri,

apa dia tau hanya ceo CIMB,

nak jadi juru cakap Datuk Seri,

kepimpinan dinasti Najib al-Maliki.

 

Tembelang PKFZ sudah dijumpai,

Cina MCA kepala pencuri,

sedang Umno ditipu lagi,

rakyat pula terus dibodohi,

tapi Datuk Seri bahagia bercuti,

bercuti pula di luar negeri.

 

Sedang PAS DAP bersatu hati,

Umno terus mencemburui,

perpaduan Melayu jadi misi,

tapi PAS serik ditipu lagi.

 

Sedang rakyat sengsara hati,

merasa tawarnya kopi,

naik basikal mencari rezeki,

dapur kayu membakar api,

Sedang Datuk Seri pergi bercuti.

 

Curi pasir menjadi-jadi,

Selangor Penang ditunding jari,

apabila sudah kaya si kroni,

maka RTM tv3 mula mensensasi,

sedang ini projek Umno beri,

rakyat tersilap marah PKR DAP.

 

Pening sudah rakyat memerhati,

sosial ekonomi tak menjadi,

termenunglah mak cik siti,

menunggu pencen arwah suami,

300 sebulan menggigit jari.

 

Rakyat terus memerhati,

melihat kerakusan kabinet Datuk Seri,

gila talak tidak sudah lagi,

cukup Perak, Penang Selangor dimimpi,

tapi rakyat tidak bodoh lagi,

Datuk Seri pergilah bercuti.

 

Pulang nanti membawa isteri,

jangan dilupa duit rakyat beri,

akan dituntut suatu hari nanti,

untung rugi tanggung sendiri,

jangan dikata rakyat tak mengenang budi.

 

Wahai Perdana Menteri Datuk Seri,

jasamu ku kenang sampai ke mati,

tukar kerajaan bukun kerana sakit hati,

tapi amalan demokrasi jadi tradisi,

cukuplah parti perdana menteri,

cap kopi kapal api tidak diminati.

 

Kerajaan baru bakal dinanti,

kita lihat dan perhati,

revolusi dan transformasi bakal direalisasi,

Malaysia tercinta terus memacu ekonomi.

 

Sekian dari suara hati,

jangan disekat dengan akta menteri,

moga terus kekal ukhuwah ini,

Salam revolusi dari rakyat Datuk Seri,

Pakatan Rakyat membawa transformasi.

 

Infinitikasih,

Mafraq, Jordan.

Posted with WordPress for BlackBerry.

SPR!!! Kami Mahu Pendaftaran Secara Automatik.

Kepada Pengerusi SPR udah-udah le mengampu..yang teruk kakitangan SPR le.

Daftar Pengundi : BN tidak Konsisten, SPR Tersepit

arti Islam Se-Malaysia (Pas) kesal dengan sikap tidak konsisten pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu pendaftaran pemilih. Semalam Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi dan pemilih secara automatik dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dimana, setiap warganegara berumur 21 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Pakatan rakyat sudah lama mencadangkan perkara ini dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini sudah membawa cadangan itu tetapi ditolak melalui jawapan Parlimen oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa negara ini mengamalkan ‘freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision’ dan rakyat tidak boleh dipaksa untuk mendaftar dan keluar mengundi.

Jawapan berkenaan jelas memberikan masalah kepada SPR yang masih gagal mendaftarkan pengundi-pengundi yang telah layak kerana kekurangan kakitangan dan sumber. Akibat penolakan itu, SPR mewujudkan cadangan baru iaitu menaikan bayaran untuk penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3. Tetapi cadangan ini pula ditolak oleh Dr. Puad atas alasan membazirkan wang rakyat dan kembali semula mengutarakan cadangan yang pernah disebut oleh Pakatan dan SPR iaitu membuat pendaftaran secara automatik.

Jelaslah, bahawa Kerajaan BN sendiri tidak konsisten dan tidak mempunyai persefahaman yang jelas terhadap keputusan yang mereka ambil. SPR menjadi seperti bola yang bukan sahaja ditendang ke sana ke mari, cadangan mereka diperlecehkan dan BN jelas takut untuk membuat penyelesaian terhadap isu pendaftaran pemilih ini kerana jumlah pengundi baru yang ramai adalah satu ancaman kepada mereka.

PAS tegas mahu pendaftaran pemilih secara automatik dibuat dan kita bersedia membantu SPR untuk meningkatkan jumlah pengundi baru. PAS berharap agar SPR bersikap lebih terbuka dan menerima dengan positif bantuan yang ditawarkan oleh PAS. Kita menawarkan perkhidmatan secara PERCUMA kepada SPR bagi mendaftarkan pemilih-pemilih baru dengan syarat pendaftar pemilih dari parti ini dan parti-parti Pakatan lainnya tidak didiskriminasi oleh SPR. Layanan yang adil hendaklah diberikan dan jawapan segera diberikan bagi setiap senarai pendaftaran yang telah diserahkan sebelum ini.

PAS berjanji, bahawa pendaftaran pemilih secara automatik akan dilaksanakan jika Pakatan menjadi kerajaan selepas Pilihanraya kali ke-13 nanti sekaligus dapat menjimatkan wang rakyat dan memudahkan kerja-kerja SPR.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

FDI-Sudah Merudum 430 Peratus Masih Nak Perbodohkan Rakyat!

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyanggah alasan bahawa pelabur asing tidak ada wang untuk melabur sebagai punca kepada penurunan mendadak Pelaburan Asing Terus (Foreign Direct Investment-FDI) ke negara ini. Alasan yang tidak matang ini tidak boleh digunakan oleh Tun Mahathir Mohamad sekalipun beliau cuba untuk membela kepimpinan anak didiknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang gagal memanfaat perlantikannya sebagai Perdana Menteri untuk menarik sokongan pelaburan asing.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi Kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh sebanyak 430 peratus. Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filifina, Thailand dan Singapura.

Indonesia hanya mengalami kejatuhan sebanyak 91 peratus dengan nilai FDInya masih lebih tinggi dari Malaysia pada 2009 iaitu USD 4, 877 juta berbanding USD 9, 318 juta pada 2008. Thailand yang bergolak pada tahun lepas pula alami kejatuhan sebanyak 44 peratus iaitu dari USD 8, 570 juta pada 2008 kepada USD 5, 957 juta pada 2009.

Alasan bahawa pelabur asing tiada duit disanggah dengan peningkatan pelaburan ke negara jiran Malaysia iaitu Singapura yang memperoleh peningkatan sebanyak 32.87 peratus dengan nilai FDI 2009 berjumlah USD 16, 256 juta berbanding USD 10, 912 juta pada 2008.

Filifina turut mengalami peningkatan walaupun disibukan dengan isu pengganas dan proses pilihanraya. Negara jiran ini mengatasi Malaysia dengan memperolehi USD 1, 948 juta pada 2009 berbanding USD 1,544 juta pada 2008 dengan kadar peningkatan sebanyak 20.74 peratus.

Kita tidak lupa bahawa FDI Malaysia pada 1998 lebih rendah berbanding Thailand. Kemudian jatuh lagi pada 2005 iaitu lebih rendah ari Indonesia. 2008 FDI lebih rendah dari Vietnam dan tahun ini terus merosot, lebih rendah dari Filifina. Jangan pula selepas ini FDI Malaysia jatuh lebih rendah dari Brunei, kemboja, Laos dan Myanmar yang secara puratanya di bawah USD 500 juta sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Data-data di atas, sekaligus membuktikan bahawa alasan yang dikemukakan oleh Mahathir adalah tidak releven dan cuba memperbodohkan rakyat.

PAS menyakini bahawa kejatuhan ini berpunca dari beberapa tindakan huru hara yang dicetuskan oleh BN sendiri bermula dengan perampasan kuasa dinegeri Perak yang menyaksikan para pelabur hilang keyakinan terhadap kestabilan politik di negara ini.

Seterusnya Najib juga gagal menjamin tahap keselamatan negara apabila dua enjin pesawat TUDM dicuri, dan kapal selam Scorpene yang dibeli gagal berfungsi dengan baik. Kes rasuah yang turut membabitkan nama Perdana Menteri Malaysia sekarang semasa dalam pembelian kapal ini pula mula disiasat Perancis akhir tahun lepas dan ini mencemarkan imej negara kerana kes ini mulai memasuki Mahkamah tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, kemasukan secara rahsia mantan Perdana Menteri Thailand dalam buruan, Thaksin Shinawatra yang gagal dikesan Polis Malaysia menimbulkan keraguan kalangan pelabur berkaitan keseriusan Kerajaan melindungi negara ini. Malah Malaysia dikatakan menjadi negara transit kepada aktiviti pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan orang dan pengganas. Imej buruk ini amat menakutkan pelabur asing. Ini tidak termasuk lagi dengan faktor kes jenayah dalam negara.

Tahun 2009 juga menyaksikan Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang cuba diheret ke Mahkamah dengan isu liwat. Kredibiliti beliau yang dihormati ramai pihak ini menjadi sebab pelaburan asing tertahan.

Selain itu pembabitan beberapa pemimpin BN dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga menjadi tumpuan kerana ia melibatkan aset fasiliti perdagangan negara. Ketirisan yang berlaku dalam projek ini amat menakutkan pelabur asing kerana mereka juga boleh jadi mangsa kebuasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab jika melabur dinegara ini.

PAS menyarankan agar Kerajaan dibersihkan dari pemimpin-pemimpin yang korup dan tamak bagi meningkatkan keyakinan para pelabur dan rakyat terhadap potensi negara ini. PAS juga mahu agensi yang mempromosikan pelaburan ke dalam negara berusaha memikat perhatian pelabur asing dari Australia, New Zealand, India, Afrika, Rusia,  Kanada dan negara-negara latin di Amerika Selatan. Dalam masa yang sama pelaburan dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan sekitar negara ASEAN dipertingkatkan.

PAS juga yakin bahawa pelaburan dan nilai perdagangan mampu meningkat lebih tinggi walaupun tanpa perjanjian FTA.

PAS juga mengingatkan Mahathir agak tidak mengambil inisiatif yang membuta tuli membela Kerajaan BN dalam isu ini hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Kerajaan BN juga haruslah ikhlas dalam membantu negeri-negeri Pakatan bagi mempromosikan program pelaburan mereka ke negara luar. Sehinga ke hari ini program NCER dan ECER belum lagi menunjukan kesan yang besar kepada negeri-negeri yang terbabit, apatah lagi bila ianya sudah dikuasai Pakatan. Tahap keinginan BN untuk memajukan negeri berkenaan begitu rendah. FDI negara akan terus jatuh merundum jika BN tidak mahu menerima hakikat yang mereka perlu bekerjasama dengan Pakatan dalam memajukan negara ini terutamanya melalui negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.
 

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Bila Polis menjadi pak turut.

Nampaknya Polis juga berperanan kepada BN untuk menyekat program penerangan Pakatan Rakyat. Kalau rakyat lambat bertindak Undang-undang mana yang dapat mengembalikan hak dan kemerdekaan rakyat.

Polis Diminta Jaga Keselamatan Negara Bukan Keselamatan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS membantah sikap primitif dan tidak bertamaddun polis  yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini. Antaranya  tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit Batu Pahat pada 31hb Julai 2010. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.. Sekurang-kurang-kurangnya 9 ditangkap terdiri dari 7 lelaki dan 2 wanita.. Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Di  Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak,  Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos 2010.

Manakala 1hb Ogos 2010 , himpunan di. upacara menyalakan lilin anti ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

  PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala  pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS mengharapkan polis perlu menjaga keselamatan negara,  bukan keselamatan Umno. Bertindaklah secara professional, beri keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan Umno BN.

  PAS yakin tindakan ini sebagai satu usaha, kerana Umno sudah berada penghujung hayat, kerana apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya. Maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis menganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno/BN,  dan yang paling kita bimbang moral dan emej polis akan tercalar di mata rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, kesemuanya mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat